SEBALIK TIRAI BERNAMA CINTA
Karya: ENAL SOFYAN
Malam menutup luka dengan sunyi yang sopan
dan aku belajar menyebut namamu tanpa suara
di balik tirai kamar yg tak pernah kubuka
ada rindu bagai saksi paling setia
Aku mencinta tanpa hak memiliki
seperti doa yang gugur sebelum diangkat
degup kusembunyikan di lipatan sabar
bimbang cinta berubah menjadi bebanan
Sesekali,
kucuba mengintai dari sudut kamar
kuakui : ini lah keberanian terakhirku
-melihat tanpa meminta
-menunggu tanpa janji
Kopi hitam kuhirup perlahan
pahitnya jujur, tak pernah berpura
seperti hatiku yang memilih diam
daripada merobek bahagiamu
Kau bagai bintang di langit tak terjangkau
aku bumi yang terus belajar merendah
katanya cinta umpama buih yang menjadi permaidani
indah seketika sebelum pecah digigit pantai
Jika redha punya rupa
ia adalah wajahmu yg seperti bidadari
tak mampu aku miliki
5/1/2026
BIODATA PENULIS
Pemilik nama sebenar Zainal Bin Mohd. Supian. Berasal dari Kluang, Johor. Mula bergiat aktif selepas menganggotai Persatuan Penulis Johor (PPJ) bermula tahun 1986. Pelbagai kursus, bengkel dan ceramah penulisan anjuran PPJ, akhbar dan MEDIA pernah disertai. Sejak itu mula aktif menulis puisi, cerpen, drama radio dan sesekali drama tv. Karya-karyanya banyak tersiar di akhbar tabloid, majalah, antologi cerpen dan puisi sekitar tahun 1986 -1993. Kemudian terhenti akibat kekangan masa dan kerja. Akhir tahun 2023 adalah detik ”Semangat Membara” setelah berjumpa kembali rakan-rakan PPJ. Setelah hampir 35 tahun berhenti menulis alhamdulillah idea untuk menulis masih mekar.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan