Sabtu, 22 Februari 2025

Hikayat Cinta Pungguk dan Bulan

 HIKAYAT CINTA PUNGGUK DAN BULAN

Karya: AC Jaffrie

 


Malam sepi tidak bercahaya

rajuk bulan pergi entah ke mana

pungguk merintih jauh berkelana

dalam jiwa gelora membara.

 

Di dada langit penuh kejora

kerdip bintang berserak merata-rata

namun kesunyian bersambut hiba

bulan penuh jejaknya tiada.

 

Alangkah indahnya cinta

sudah bertaut kasih tercipta

berpaksi janji kemas di dalam dada

pahit manis mahu bersama.

 

Cinta berombak di lautan

pasang surut menguji kehidupan

setianya pantai tetap bertahan

mahu dibelai penuh harapan.

 

Kekasih di hujung dahan

tak pernah jemu merayu rembulan

walaupun sembunyi di balik awan

tetap terbayang wajahmu tuan.

 

Pungguk dan bulan

hikayat cinta tidak kesampaian

hanya rindu mampu bertahan

dua darjat berbeza impian.

 

AC JAFFRIE

Rumah Bonda, Melaka

20 Februari 2025


 BIONARASI PENULIS

AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain. Ahli kepada persatuan penulis di bawah badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera (Pantun) dari PENAMA (November 2024).

 

 

Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular