CINTA YANG TERBUANG
Karya: Kims Diwa
Aku menabur kasih setiap hari
menyulam ilmu di helaian mimpi
mengukir senyum biar lelah tak terucap
namun mereka memandangku bagai bayang
bagai suara yang layak dibisukan
Aku menyiram harapan dengan sabar
mendekap mereka dalam doa malam
tapi tangan-tangan kecil itu menepis
menyombong seolah aku tiada di dunia
menertawakan dedikasi yang diam
Namun karma tak buta seperti mereka
satu persatu jatuh ke tanah resah
menagih pandangan pernah diremehkan
merangkak dalam gelap tanpa cahaya
kerana bintang yang mereka ejek telah padam
Aku tak pernah menuntut balasan
biar kasih ini terbuang sia-sia
kerana dalam diam aku tetap menanti
kasih ini bukan untuk dikenang
tetapi membangkitkan jiwa lupa
Dan jika suatu hari
mereka tersandung dalam gelap tanpa arah
biarlah bisik rinduku menjadi lilin
yang menuntun langkah mereka pulang
kerana dalam sepi aku masih ada.
Kims Diwa
Telupid, Sabah
25052025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan