Aku, Pejuang Pendidik Merdeka
Karya Nurul Afifah Binti Rahim
Aku bukan berpedang di medan perang,
tidak menentang musuh dengan peluru dan senapang,
tetapi aku berjuang di ruang kelas,
dengan pena, papan putih, dan suara yang tak pernah lelah.
Aku mendidik anak Felda, tumbuh di bumi sederhana,
ayahku guru, mulutnya sarat nasihat dan tawa,
“Jagalah solat, jagalah bangsa,
merdeka itu bukan sekadar kata,
tapi amanah yang perlu dijaga.”
Kini ayah tiada,
namun pesannya mekar dalam dada,
setiap langkahku ke sekolah,
seakan aku menyambung perjuangan yang ditinggalkannya.
Aku berdiri di hadapan murid-muridku,
ada yang pemalu, ada yang lantang,
ada yang berjuang membaca sebaris ayat,
ada pula yang ingin melangit tinggi dengan robot dan kamera.
Aku mendidik mereka semua,
kerana pada mereka, masa depan bangsa bergantung nyawa.
Merdeka bagiku adalah bebasnya jiwa dari gelap,
bebasnya anak-anak desa dari buta huruf,
bebasnya minda daripada takut untuk bermimpi,
bebasnya suara daripada terkurung sunyi.
Aku diriku seorang pejuang pendidik,
meski tidak berhujah di parlimen,
tidak menulis dasar-dasar negara,
tetapi aku menulis di hati anak-anak kecil,
bahawa mereka mampu, mereka berharga,
mereka pewaris merdeka.
Di layar TVPSS SEPARATU,
kami rakam wajah bangsa,
kisah kejayaan kecil jadi cahaya,
temubual bersama menteri, suara murid Felda,
semuanya adalah bukti,
bahawa guru tidak sekadar mengajar,
tetapi membina sejarah.
Aku bukan tokoh terkenal,
namaku tak tercatat dalam buku teks sekolah,
tetapi setiap peluh, setiap doa,
adalah jihad kecil seorang wanita biasa,
yang percaya ilmu itu senjata,
dan pendidikan itu benteng merdeka.
Selagi nafasku masih bersisa,
selagi murid-murid masih menanti di pintu kelas,
aku akan terus berdiri,
sebagai guru, sebagai anak bangsa, sebagai pendidik merdeka.
Kerana merdeka ini tidak diwarisi percuma,
ia harus dijaga, ia harus dihidupkan,
dan aku sebagai pendidik di bumi Felda
akan terus menyulam perjuangan,
dengan cinta, ilmu, dan doa.
Biodata Penulis
Nurul Afifah Binti Rahim
Nurul Afifah Binti Rahim dilahirkan di Negeri Kelantan. Berminat dalam bidang penulisan sejak bangku sekolah lagi. Berkidmat sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lepar Utara 1 Jerantut, Pahang Malaysia.
+6012-9828069


Tiada ulasan:
Catat Ulasan