TAJUK : HIJAB RINDU
OLEH : ASMANIZA DIN
Tasnim meletakkan segelas air suam dan dua biji pil putih di atas meja kopi, betul-betul di hadapan Najmi. Jemarinya sedikit menggigil sewaktu gelas mencecah permukaan meja, namun cepat-cepat dia berlagak tenang.
Di sofa, suaminya itu langsung tidak berkutik. Mata Najmi tajam menikam wajah Tasnim. Namun, itu bukan renungan seorang suami terhadap isterinya. Itu pandangan seorang mangsa kepada pemangsa. Kosong. Dingin. Sarat dengan curiga.
"Kau nak racun aku lagi?" Soalan itu terpacul laju dari mulut Najmi.
Tasnim melepaskan keluhan berat. Sudah tiga bulan kemalangan itu berlalu. Dan selama itu jugalah dia hidup dalam tuduhan gila ini. Dituduh membunuh identiti sendiri.
"Ni ubat, bang. Doktor pesan kena makan," pujuk Tasnim lembut, cuba meraih tangan suaminya.
Pantas Najmi menepis. Kasar.
"Jangan pegang akulah! Dan jangan panggil aku abang." Nafas lelaki itu turun naik menahan marah.
"Muka kau, suara kau... memang sebiji macam isteri aku. Tapi kau bukan Tasnim. Kau sorok bini aku kat mana, hah?"
Tasnim menarik tangannya semula ke sisi. Kulitnya terasa pijar, namun tidak sehebat rasa hangus di dalam dada. Dia tahu, tiada guna bertegang urat. Di mata lelaki itu, dia hanyalah orang asing. Penyamar licik yang merampas tempat isteri kesayangannya.
Belum sempat ketegangan reda, telefon bimbit di atas meja bergetar. Deringan nyaring itu memecahkan kesunyian. Bingit dan mencengkam. Tertera nama ‘Mak’ di skrin.
Tasnim dapat mendengar bunyi degupan jantungnya sendiri yang tidak beritma. Dia melirik ke arah Najmi. Lelaki itu masih merenungnya dengan kening berkerut, seolah-olah bunyi telefon itu satu isyarat kod rahsia daripada pihak musuh.
Tasnim menarik nafas dalam-dalam, memaksa bibirnya mengukir senyuman palsu sebelum menekan butang hijau. Dia perlu memaniskan nada suara, walau hatinya pahit menelan hempedu.
"Assalamualaikum, mak."
"Waalaikumussalam, Tasnim. Korang berdua tengah buat apa tu? Mak saja telefon, rindu nak dengar suara Najmi. Dah lama dia tak telefon mak sejak keluar wad hari tu."
Suara orang tua itu ceria di hujung talian. Langsung tidak tahu-menahu tentang kemelut yang sedang melanda rumah tangga anak menantunya ini.
Tasnim menelan liur. Terasa berpasir di tekak. Matanya tidak lepas daripada memandang Najmi. Suaminya itu perlahan-lahan bangun dari sofa berjalan mendekatinya. Langkahnya cermat dan penuh syak wasangka, persis seorang pemangsa mengintai gerak-geri mangsa.
"Najmi ada ni, mak... baru aje lepas makan ubat. Sekarang tengah rehat. Nampak macam penat sikit hari ni," bohong Tasnim.
"Lah, ya ke? Tak apalah kalau macam tu. Jangan bagi dia buat kerja berat-berat sangat. Tasnim jaga Najmi elok-elok, ya. Mak tahu Tasnim isteri yang baik. Beruntung Najmi dapat Tasnim."
Pujian itu ibarat sembilu yang menghiris hati. Beruntung? Jika ibu mentuanya tahu anaknya sedang memandang Tasnim dengan pandangan jijik, masih relevankah perkataan beruntung itu?
Najmi kini berdiri betul-betul di hadapannya. Dia merapatkan telinga ke telefon, cuba menangkap setiap butir bicara. Matanya membulat garang, mulutnya bergerak tanpa suara.
Kau lapor pada siapa?
Tasnim memejamkan mata, menahan sebak yang mula bertandang.
"Ya, mak. Tasnim jaga Najmi elok-elok. Tasnim sayang dia," balas Tasnim. Suaranya bergetar halus.
"Tasnim okey ke tu? Macam nak menangis aje?"
"Tak ada apalah, mak. Tasnim cuma selesema sikit. Okeylah mak, Tasnim nak bagi Najmi tidur. Nanti kami balik kampung bila dia dah kuat sikit, ya."
Talian dimatikan. Tangan Tasnim menggigil saat menurunkan telefon dari telinga. Belum sempat peranti itu mencecah permukaan meja, Najmi terlebih dahulu menepis kasar tangan isterinya sehingga telefon itu terpelanting jatuh ke atas permaidani.
"Pandai kau berlakon," bisik Najmi. Sinis.
"Kau beritahu bos kau yang misi kau dah berjaya? Kau nak cakap yang aku dah mula percayakan kau?"
Tasnim membisu. Dia hanya memandang kosong skrin telefon yang gelap di lantai. Najmi kembali duduk di sofa, sambung merungut sendirian tentang konspirasi ciptaannya.
Tasnim membiarkan sahaja. Dia mengutip telefon itu lalu menyimpannya ke dalam kocek seluar. Dia perlukan kekuatan. Namun, perlahan-lahan fikirannya mula kosong dan melayang entah ke mana.
Rongga hidungnya seakan-akan disapa bau disinfektan yang tajam dan meloyakan. Bau yang serta-merta mengheretnya kembali ke lorong dingin hospital.
Bilik konsultasi Dr. Zaidi itu hening. Hanya bunyi pendingin hawa yang menderu halus. Doktor muda itu memandang Tasnim dengan wajah serba salah. Berat untuk melepaskan kata-kata.
"Dari segi fizikal, suami puan sudah stabil. Pendarahan dalam otak dah berhenti, tulang yang patah pun bercantum dengan baik. " Dr. Zaidi berhenti seketika sebelum menyambung dengan nada lebih perlahan.
"Cuma kecederaan pada hemisfera kanan otaknya meninggalkan kesan yang tak dapat kita nampak secara luaran."
Tasnim mengerutkan dahi.
"Maksud doktor, dia hilang ingatan?"
"Bukan.” Doktor menggeleng.
"Dia bukan hilang ingatan. Memori dia masih kuat. Dia tahu nama puan, dia ingat sejarah perkahwinan puan berdua. Dia tahu puan isterinya."
"Jadi... apa yang tak kena, doktor?"
Dr. Zaidi menggenggam kedua-dua belah tangannya di atas meja.
"Dalam otak kita, ada laluan saraf yang menghubungkan pengecaman wajah dengan pusat emosi. Sistem inilah yang buatkan kita rasa dekat bila melihat orang yang kita sayang. Dalam kes suami puan, laluan itu terganggu."
Tasnim terkedu.
"Bila dia tengok puan, otak dia gagal hantar isyarat yang puan ni orang paling dekat dengan dia. Kemesraan tu dah tak ada."
Air muka Tasnim berubah.
"Jadi, dia mula buat kesimpulan sendiri. Dia percaya yang isteri dia yang sebenar dah hilang, dan puan yang ada di depan mata dia sekarang hanyalah penyamar," sambung doktor itu perlahan.
Kesunyian mula merantai suasana.
"Keadaan ini dipanggil Sindrom Capgras. Memang jarang terjadi, puan. Tapi, ia bukan sesuatu yang pelik untuk kes-kes kecederaan otak macam suami puan."
Tasnim bersandar lemah pada kerusi. Tubuhnya tiba-tiba terasa longlai, seolah-olah segala tenaga telah disedut keluar.
"Boleh sembuh?" tanyanya perlahan, hampir seperti berbisik.
Dr. Zaidi menarik nafas panjang. Dia memandang Tasnim dengan simpati.
"Kita akan rujuk pada pakar psikiatri dan terus pantau perkembangan sarafnya. Saya tak boleh janji bila, sebab proses pemulihan setiap pesakit tak sama. Ada yang nampak perubahan cepat, dan ada juga yang perlukan masa yang lebih panjang. Kita kena banyakkan bersabar, puan."
Tasnim menyeka sisa air mata. Dia tidak boleh terus mengalah. Perlahan-lahan, telefon dikeluarkan dari kocek seluar. Jarinya menatal galeri, mencari rakaman kenangan mereka di Cameron Highlands. Terpampang wajah Najmi yang ketawa bahagia sambil memaut erat bahunya.
"Tengok ni, bang. Ni kita," ujar Tasnim sebak sambil menghalakan skrin ke wajah suaminya. Dia berharap sekelumit ingatan itu mampu meruntuhkan tembok halimunan antara mereka.
Najmi mengerling sekilas ke skrin. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Senyuman yang membuatkan bulu roma Tasnim meremang.
"Hebat," gumam Najmi. Matanya melilau ke sekeliling ruang tamu, kalau-kalau ada peranti tersembunyi di celah pasu bunga atau rak televisyen.
"Teknologi sekarang memang canggih, kan? Muka isteri aku, suara dia... semua boleh dibuat-buat. Kau ingat dengan tunjuk video palsu macam ni, aku akan percaya kau isteri aku?"
Tasnim terkedu. Terasa seperti jantungnya baru sahaja direntap keluar. Video yang selama ini menjadi pengubat rindunya, kini hanya dianggap sampah oleh lelaki itu.
"Siapa hantar kau?" Najmi tiba-tiba bingkas bangun. Wajahnya didekatkan ke muka Tasnim. Rapat. Hingga terasa nafas hangat lelaki itu menampar kulit pipinya.
"Cakap! Mana kau sorok Tasnim yang sebenar? Kau ejen siapa? Kau pasang kamera kat mana dalam rumah ni, hah?!"
Tasnim mengundur setapak ke belakang. Tubuhnya menggigil ketakutan. Di luar, hujan mula turun mencurah-curah. Bunyi tempiasnya di tingkap serta-merta mengheret ingatan Tasnim jauh ke belakang.
Enam bulan sebelum kemalangan itu mengubah segalanya. Ruang dapur itu adalah saksi kepada kebahagiaan yang kini terasa asing.
Waktu itu, Najmi sedang sibuk mengacau gulai yang menggelegak di dalam periuk. Apron merah jambu milik Tasnim tersarung ketat pada tubuh sasanya. Nampak kelakar, tapi itulah Najmi. Dia tidak pernah segan menyingsing lengan menyiapkan juadah.
"Masinlah gulai ni, bang," komen Tasnim selepas mencicip sedikit kuah dengan hujung jari.
"Masin sebab abang nak tambah cawangan kot?" seloroh Najmi. Dia ketawa besar, suka dapat menyakat isterinya.
"Gatal eh! Langkah mayat saya dulu kalau berani," balas Tasnim sambil menepuk manja lengan suaminya dengan senduk kayu.
Tawa Najmi mati, diganti dengan senyuman nipis. Dia memusingkan badan, lantas menekup kedua-dua belah pipi Tasnim dengan tangan yang masih berbau bawang dan rempah. Matanya redup, penuh dengan kasih sayang yang melimpah-ruah.
"Takkan ada orang lain, Tasnim. Kalau abang hilang ingatan sekalipun, hati abang tetap milik sayang seorang. Abang janji."
"Janji?"
"Janji. Muka sayang ni... dah cop mati dalam kepala abang."
Najmi mengucup dahi Tasnim. Lama.
Kenangan manis itu berkecai sekelip mata apabila satu dentuman guruh membelah langit malam. Serentak dengan itu, seluruh rumah menjadi gelap gelita. Bekalan elektrik terputus.
Dalam kegelapan pekat itu, nafas Najmi yang tadi menderu laju kerana amarah, kini tersekat-sekat. Udara terasa tipis, seolah-olah ada tangan ghaib yang sedang menjerut kerongkongnya. Ingatannya terus diheret kembali ke memori hitam kemalangan itu.
"Tasnim... Tasnim, gelap." Suara Najmi pecah, memanggil nama isterinya. Nadanya bukan lagi suara penuh curiga, tetapi rintihan seorang lelaki yang hilang arah.
Tasnim tidak membuang masa. Walaupun hatinya masih berdarah kerana tuduhan kejam tadi, kakinya pantas melangkah ke arah sofa. Dia meraba-raba dalam gelap, mencari tubuh suaminya.
"Abang, saya ada kat sini."
Sebaik sahaja tangan Tasnim menyentuh bahu Najmi, lelaki itu terus menarik tubuhnya ke dalam pelukan. Najmi memeluknya erat, seolah-olah nyawanya bergantung pada haba badan Tasnim. Tiada lagi tolakan kasar. Tiada lagi soalan 'kau siapa'.
Dalam gelap itu, mata Najmi tidak nampak wajah penyamar yang dibencinya. Dia hanya merasakan kehangatan tubuh isteri yang dirinduinya.
"Abang takut, sayang. Abang ingat, abang dah hilang awak..." bisik Najmi di tepi telinga Tasnim.
Air mata Tasnim tumpah jua. Dia membalas pelukan itu semahu-mahunya. Inilah Najmi yang sebenar. Najmi yang mencintainya. Dinding delusi itu runtuh saat pandangan mata terhijab oleh kegelapan.
"Saya takkan pergi mana-mana, bang. Saya sentiasa ada," balas Tasnim, suaranya tenggelam dalam tangis.
Untuk seketika, masa seakan-akan terhenti. Dua jiwa yang saling merangkul erat, berlindung di sebalik kegelapan malam yang sunyi. Tasnim memanjatkan doa bisu di dalam hati. Biarlah kegelapan ini tidak berakhir. Biarlah dia terus menjadi isteri yang diiktiraf, walaupun hanya dalam kelam.
Namun, takdir tidak menyebelahi angan-angannya. Tiba-tiba, kotak fius utama kembali bernyawa. Cahaya lampu kalimantang serta-merta membanjiri segenap ruang tamu, menghapuskan segala keindahan kelam tadi.
Kewarasan Najmi rentung sekelip mata. Sebaik sahaja pandangannya terpaku pada wajah wanita di dalam pelukannya, dia bertindak balas seperti terkena renjatan elektrik. Tubuhnya menegang. Dia menolak Tasnim dengan kasar.
"Jangan sentuh aku!" jerkah Najmi. Matanya yang tadi redup kini kembali liar dan bengis.
Tasnim terkedu. Tangan yang baru sebentar tadi memeluk erat, kini menuding tajam ke arah wajahnya.
"Kau ambil kesempatan masa gelap tadi, kan?" Dada Najmi berombak kencang menahan marah. Tangannya rakus mengesat-ngesat dada dan bahu kemejanya, seolah-olah sentuhan Tasnim tadi meninggalkan noda jijik yang perlu disamak segera.
"Perempuan murahan! Kau ingat dengan goda aku macam ni, aku akan lupa isteri aku? Kau ingat aku akan cair dengan taktik kotor kau?"
Tasnim membisu. Dia hanya memandang suaminya dengan pandangan kosong. Air mata yang belum kering di pipi terasa sia-sia. Benarlah... 'sihir' itu sudah tamat. Magis itu hanya wujud dalam gelap. Di bawah cahaya terang dunia nyata, dia kembali menjadi orang asing di rumah sendiri.
Tasnim perlahan-lahan bangkit, menyeka hujung matanya yang masih basah. Tiada guna merayu atau bertekak. Tembok yang memisahkan mereka terlalu tebal untuk ditembusi dengan sekadar kata-kata.
Najmi masih memandangnya dengan ekor mata. Penuh curiga, seolah-olah takut diterkam. Namun, amarahnya kian tewas apabila kesan ubat penenang mula merantai sistem sarafnya.
Akhirnya, Najmi hanyut di atas sofa dalam keadaan meringkuk. Dia masih enggan berganjak ke bilik tidur yang harus dikongsi bersama 'orang asing'.
Tasnim menghela nafas panjang. Dia mengambil selimut tebal dari bilik dan menyelimuti tubuh suaminya dengan cermat. Pergerakannya sangat lembut, seolah-olah sedang menenangkan seekor raksasa yang baru sahaja jinak dalam lena.
Wajah Najmi nampak tenang dalam tidurnya. Tiada kerutan marah, tiada pandangan jijik. Hanya wajah ini yang dirinduinya. Wajah yang menjadi satu-satunya alasan untuk dia terus bertahan di dalam dunia ciptaan lelaki itu sendiri.
Tasnim melorot jatuh ke lantai, lalu bersandar lemah pada kaki sofa. Dia merenung wajah tenang itu, cuba mengutip sisa kekuatan untuk menghadapi hari esok.
"Tidurlah, bang," bisik Tasnim perlahan. Suaranya bergetar menahan sebak.
"Abang kuncilah pintu dunia abang rapat-rapat. Saya akan setia tunggu... sampai abang sendiri yang sudi buka."
Biarlah dia terus menjadi penyamar di mata suaminya. Biarlah dia dituduh musuh dalam selimut. Asalkan dia dapat menatap wajah itu setiap hari, itu sudah memadai.
Malam itu, Tasnim terlena berbantalkan lengan di atas lantai yang dingin. Dia tetap di situ, setia menjaga seorang lelaki yang tidak lagi mengenali siapa dirinya.
Tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan