Sabtu, 8 Februari 2025

Kasut Bertumit Tinggi

 KASUT BERTUMIT TINGGI

Oleh: Kims Diwa


Aku tidak tahu kepada siapa harus aku meminta pertolongan. Dalam saat genting seperti ini, aku masih diuji dengan halangan. Aku sudah biasa diuji dalam hidup, tetapi tidak sangka perkara sekecil ini mampu menambahkan resah yang bertubi-tubi di hatiku.   

        Pagi itu, aku bersiap-siap untuk menghadiri temu duga sebagai kerani di sebuah organisasi penerbitan akhbar—pekerjaan yang sekian lama aku impikan sejak di bangku sekolah. Bekerja di dunia penerbitan bukan sekadar mencari rezeki; ia adalah satu bentuk penghargaan terhadap minat dan impianku dalam penulisan. Jika aku diterima bekerja di sana, mungkin aku akhirnya boleh melihat namaku tercetak di dada akhbar, bukan hanya sebagai pembaca, tetapi sebagai penyumbang.   

        Aku memilih baju kurung sutera biru lembut dengan sulaman halus di hujung lengan—baju kesayangan yang hanya pernah kupakai pada pagi Aidilfitri tahun lalu. Ibu selalu berpesan, "Biar berpakaian sopan dan manis di mata orang. Biar orang hormat, bukan sekadar pandang."

         Pilihanku bukan sahaja kerana adat, tetapi kerana aku mahu tampak kemas dan berkeyakinan. Selesai menggosok baju, aku menyelongkar almari, mencari fail sijil berwarna merah jambu yang sudah lama aku simpan rapi. Setelah semua dokumen siap, aku bergegas mendapatkan ibu.  Namun, aku tidak menyangka permintaanku disambut dengan keraguan.  

     "Anak perempuan jangan keluar sendiri ke bandar. Nanti sesat, nanti orang ambil kesempatan," kata ibu, suaranya lembut tetapi tegas.

"Lagipun, perempuan baik-baik jangan gopoh mahu bekerja. Biarlah rezeki itu datang pada masanya."  

        Aku diam. Kata-kata ibu bagaikan gumpalan embun yang menyejukkan, tetapi juga menyesakkan dada. Aku sudah setahun tamat SPM dan sepanjang waktu itu, aku hanya duduk di rumah, membantu ibu memasak, menyapu laman, dan menjadi saksi kepada kehidupan yang statik.  

     Setahun menganggur membuatkan aku berasa tidak berguna. Aku tidak mahu terus menjadi beban keluarga. Aku mahu membuktikan bahawa aku mampu berdikari.  Kata-kata ibu seperti bisikan puisi di telingaku.

                   Hidup ini jalan yang panjang, anak

ibu berbisik dalam sayu pandangnya

setiap langkah ada yang melihat

setiap jatuh ada yang mengingat  

 

Langkahmu biar pasti

jangan tergesa dalam memilih dunia

tapi aku ingin mencuba ibu

walau jalannya masih kabur di mata

         Aku nekad. Aku turun dengan semangat yang membara. Tetapi sebaik menyarungkan selipar, hatiku tersentak.  Aku terlupa sesuatu yang sangat penting—kasut bertumit tinggi dan bertutup!

         Jantungku berdegup kencang. Aku segera menyelongkar almari kasut, tetapi yang ada hanyalah sepasang kasut lama yang sudah koyak di bahagian hujung. Aku bergegas mencari ibu untuk meminta kasutnya, tetapi hampa—ibu tidak mempunyai kasut bertumit.  

         Teksi yang aku panggil sudah tiba. Masa semakin suntuk, tetapi kasut masih belum aku temui!  Ibu mencadangkan agar aku meminjam kasut daripada sepupuku, Ani. Mujur rumahnya hanya beberapa langkah dari sini. Aku berlari ke sana, dan syukur, Ani ada di rumah.  Dia menghulurkan sepasang kasut bertumit tinggi miliknya. Namun, kasut itu terlalu besar!  Aku mencuba melangkah, tetapi setiap kali tumitku terangkat, kasut itu hampir terlepas.   

"Apa kata kau beli kasut lain bila sampai di bandar?" Cadang Ani.   

Aku hampir bersetuju, tetapi risau jika terlewat. Akhirnya, aku nekad memakai sahaja kasut Ani dan berharap ia tidak menyusahkanku.  Aku melangkah dengan penuh harapan—tetapi tanpa aku sedar, takdir sudah mengatur halangannya sendiri. Setelah tiga puluh minit, jalan raya semakin sesak. Aku melirik jam tangan—7:30 pagi. Aku masih ada masa tiga puluh minit sebelum temu duga bermula.  Namun, kenderaan seolah-olah tidak bergerak!  

         Peluh mula membasahi dahiku meskipun pendingin udara dalam teksi masih berfungsi. Aku semakin gelisah. Hati berbolak-balik, cuba mencari jalan penyelesaian.  Aku memujuk hatiku dengan untaian kata-kata.

                 Jalan itu panjang, tapi aku mesti tiba

mesti juga bertahan, mesti mencuba

walau langkah ini goyah di pinggir sesak

aku percaya di hujung ada cahaya memancar megah

         Tiba-tiba, suara pemandu teksi memecah kebisuan dan zikir di dalam hatiku terhenti serta merta.

             "Maaf, nak. Pakcik faham perasaanmu."  

         Aku terdiam. Kata-kata itu menusuk ke dalam hatiku. Aku menarik nafas panjang, cuba mengawal kegelisahan.  Aku tiba di hadapan bilik temu duga. Seorang lelaki tampan berdiri di situ, menatapku dengan senyum kecil. Aku cuba melangkah penuh sopan, tetapi…  

         Aku terpelecok!  Kasut tumit tinggi itu terlalu besar. Aku kehilangan keseimbangan dan jatuh betul-betul di hadapan lelaki itu.  Aku bingkas bangun, menahan rasa malu yang menggigit jiwaku. Sebelum masuk ke bilik temu duga, aku sempat mengerlingnya. Wajahnya kemerahan—menahan tawa.  Aku mendengus dalam hati. Dengusan itu seperti rangkaian puisi penuh kekesalan.

                  Oh kasut, oh dunia

mengapa setiap langkahku kau uji?

baru hendak menggapai tinggi,  

sudah dijatuhkan tanpa simpati.  

         Aku mengetap bibir, menolak daun pintu dan melangkah masuk.  Belum sempat aku duduk, kasut sebelahku sekali lagi terlepas dan melayang ke hadapan, mendarat betul-betul di hadapan penemu duga!  Aku membatu. Para penemu duga hanya tunduk memandang meja, tetapi bahu mereka bergerak-gerak—cuba menahan ketawa!   Seorang daripada mereka akhirnya bangun dan keluar dari bilik. Sebaik pintu tertutup, aku mendengar ketawa berderai dari luar.   Aku menelan liur, menahan rasa malu yang kian memuncak.  Hari ini benar-benar bukan hariku.  Aku menundukkan kepala dan menghela nafas panjang.  

 

"Kasut oh kasut… Kau memang tidak mahu menyebelahi aku, bukan?"  


BIONARASI

Kims Diwa atau nama sebenar Rukimah binti Pandawa berasal dari Kota Marudu, Sabah, bertugas di Telupid sejak tahun 1997. Sajak dan cerpen adalah dua seni sastera yang diminati beliau. Cerpen-cerpen beliau banyak tersiar di akhbar-akhbar tempatan dan beberapa antologi puisi dan cerpen bersama-sama penulis pemula dan mapan. Kini beliau sedang berusaha menghasilkan kumpulan cerpen, namun masih banyak kendala yang sukar ditangani.

 

 

Lautan Kasih

 LAUTAN  KASIH

Oleh: 

Thomas Krispians Swalar

 

Bagai  lautan kasihmu ibu

Tak bertepi tak berujung

Kasihmu adalah lautan kehidupan maha luas

Yang mengalir dari kedalaman hati

Memancar  bias kehidupan

 

Engkau tak pernah menyerah pada uban rambutmu

Dan keriput di wajahmu

Adalah gambaran ketulusan yang kau berikan

Rumah yang dulu ramai, kini sepih tak berpenghuni

Engkau  menunggu dengan sejuta cinta

 

Tak menuntut kasih yang tercurah

Meski hidup beralas badan

Semua telah pergi dengan kehidupannya

Mengais sesuap menggapai mimpi

 

Rindumu adalah rumah tempat bernaung

Mencurah kasih yang terpendam

Dalam penantian akan kepulangan

Buah hati tercinta

 

Engkau pendam rasa dan rindu

Bersama berlalunya waktu

Jika kebahagiaan itu telah di rengkuh

Dan mimpi-mimpi kecilnya tergapai

Kita akan bercerita tentang rindu itu

 

Lautan kasih yang memberi harap

Tersenyum engkau menyambut mereka kembali

Kembali dalam dekapanmu

Yang  penuh kasih

 

Loang, 5  Pebruari 2025

 

BIONARASI



Thomas Krispianus Swalar, lahir 16 Juli 1976 di Desa Puor Kecamatan Wulandoni Kabupaten Lembata-NTT. Mengabdi di SMAN 1 Nagawutung. Penulis, Pegiat Literasi dan Penyair. Sudah menghasilkan, 3 karya Solo dan 80-an karya Antologi Bersama.

Jumaat, 7 Februari 2025

Oja si Anak Tupai

OJA SI ANAK TUPAI
Oleh:
AC JAFFRIE


Ada seekor anak tupai bernama Oja. Dia tinggal di atas sebatang pokok bersama dengan Opi, seekor anak burung punai. Mereka sudah berkawan lama sejak dari kecil lagi. Keluarga Oja dan Opi sudah lama tinggal bersama di atas pokok itu.

Oja seekor anak tupai yang nakal. Setiap pagi dia akan berlari-lari dan melompat dari dahan ke ranting pokok. Dia sering ditegur oleh ibunya supaya berhati-hati. Kalau salah langkah dia akan jatuh ke tanah.

“Kalau jatuh kamu juga yang sakit,” pesan ibu Oja. “Kamu jangan asyik leka bermain!”

Jaja tidak peduli. Dia akan terus bermain dan melompat riang dari dahan ke dahan pokok. Dia sudah biasa bermain di situ hari-hari. Sejak dari kecil, pokok itu adalah taman untuk dia bermain.

“Hai Oja, selamat pagi,” ucap Opi apabila Oja melompat berdekatan sarang tempat tinggalnya. 

“Selamat pagi, Opi. Marilah ikut saya bermain,” ajak Oja.

“Saya menunggu ibu pulang. Saya mesti minta izin ibu sebelum pergi bermain,” beritahu Opi.

Opi seekor anak burung punai yang baik. Dia akan mendengar kata ibunya sebelum berbuat sesuatu. Ibu Opi sangat mementingkan keselamatan anaknya. Bahaya banyak menanti jika tidak berhati-hati.

“Kita main di sini saja. Bukannya pergi ke tempat lain,” ujar Oja mahu memujuk Opi.

“Tapi saya sudah berjanji menjaga sarang ini sebelum ibu pulang,” jawab Opi dengan jujur.

Setiap pagi, ibu Opi akan pergi mencari makanan. Di dalam sarang pula ada dua biji telor. Setiap kali ibu Opi keluar, dia akan menjaga telor-telor itu. Jika tidak dijaga, telor-telor itu akan dimakan oleh musuh mereka.

“Kasihannya awak tidak bebas macam saya. Saya boleh buat apa yang saya suka,” ucap Oja lagi dengan bangga.

“Kita ada orang tua. Kita mesti dengar nasihat mereka,” balas Opi dengan lembut.

“Saya bukan buat salah. Saya hanya bermain saja,” ujar Oja mahu pertahankan diri.

“Kita boleh bermain tapi mesti ada masanya,” jawab Opi tidak mahu mengalah. Dia seekor anak yang mendengar kata ibunya.

Oja terus leka bermain. Dia akan berlari dan melompat dari dahan ke dahan. Dunianya hanya di atas pokok itu sahaja. Dia terfikir mahu melompat ke pokok yang lain. Tidak jauh dari situ ada pokok rambutan yang sedang masak ranum. Warna buah rambutan yang kemerahan menarik perhatiannya.

Oja terus melompat ke ranting pokok rambutan yang berjuntaian. Dia berjaya meniti ranting pokok rambutan itu. Dia sangat teruja melihat buah-buah rambutan yang masak ranum. Dia akan makan sepuas-puasnya buah rambutan itu. Pak Tam, seekor burung gagak menegur Oja.

“Lepas kamu makan, cepat-cepat pulang,” tegur Pak Tam.

“Kenapa Pak Tam?” soal Oja sambil makan buah rambutan.

“Tentu ibu kamu risau kalau balik lambat,” beritahu Pak Tam lagi. “Lagipun di sini ada bahaya.”  

Tiba-tiba kedengaran bunyi senapang meletup. Pak Tam dan Oja sangat terkejut. Kedengaran suara manusia di bawah pokok. Pak Tam segera terbang ke udara. Oja pula terpaksa melompat ke dahan lain untuk menyelamatkan diri.

Oja bernasib baik kerana tidak menjadi mangsa petani. Perasaan terkejut dan takut tetap ada. Dia terus melompat dan melompat dari ranting ke ranting pokok. Malang tidak berbau, dia terpijak ranting yang reput. Oja terus jatuh ke tanah dan mengelupur kesakitan.

“Anak yang baik mesti dengar cakap ibu dan ini satu pelajaran,” nasihat ibu Oja.

“Saya minta maaf, ibu. Lain kali saya tak buat lagi,” ucap Oja sambil menahan kesakitan.

Opi dan ibunya datang melawat. Mereka membawa sedikit makanan untuk Oja. Opi memberi setangkai buah rambutan merah kepada Oja. Dia kasihan melihat Oja yang kesakitan.

“Nanti kita main sama-sama,” kata Opi mahu menghiburkan hati Oja.

“Terima kasih, Opi. Kamu seorang kawan yang baik,” balas Oja sambil tersenyum.

Opi dan Oja berjanji akan menjadi sabahat baik. Mereka akan mendengar nasihat orang tua sampai bila-bila. Oja dan Opi berpelukan di akhir pertemuan itu. 


BIONARASI PENULIS

AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain

Khamis, 6 Februari 2025

Karya yang Tertuduh

 KARYA YANG TERTUDUH

Oleh Syahrul Ramadhan

 


 

Segala resah menumpuk di rongga dada,

bagai awan kelabu yang enggan pecah oleh angin,

pikiran berkabut, gelisah menggurita,

hidup terasa mengapung di lautan tanpa pantai.

 

Kuambil secarik kertas yang teronggok di meja kayu tua,

kutorehkan tinta pekat, membiarkannya menari liar,

kata-kata menjelma bara, bait-bait tersusun bagai bara api,

melontarkan nyala yang menggigit malam.

 

Aku berbicara tentang dunia yang retak,

tentang bencana yang menelan nurani,

pena bergetar, menggigil di jemariku,

darahku menggelegak, seperti gelombang yang menghantam karang.

 

Namun, kutatap lembaran yang telah kugores,

ia hanya sebongkah bara tanpa cahaya,

hanya teriakan yang bergema di ruang kosong,

sebuah karya yang meluap, tapi tak memberi jalan.

 

Tangerang, 5 Februari 2025

 

 

BIONARASI

 

Syahrul Ramadhan, lulusan Sastra Indonesia yang memiliki minat dan dedikasi dalam bidang bahasa, sastra, dan pendidikan.

Rabu, 5 Februari 2025

Di Balik Altar Sang Lentera

 Di Balik Altar Sang Lentera

Oleh: Agustina Rahman

 

Kala embun berbisik lirih di pelukan dedaunan
Mentari enggan menyapa cakrawala
Lentera ilmu menari, berdansa, dalam ritme waktu
Di bawah altar kecil namun penuh doa dan asa

 

Lentik jemari menyulam hidangan fajar
Melukis cahaya fajar dengan kehangatan kasih
Penganan lembut berselimut selai rindu
Menjadi bekal tak tampak, namun penuh makna

 

Di sudut meja, pena dan buku bercakap
Menyulam mimpi-mimpi anak negeri dalam sunyi
Letih merayap seperti bayang malam
Namun jiwanya bergemuruh laksana guntur di medan laga

 

Syal kabut fajar membelai jendela beku
Namun ia berdiri, teguh bak mercusuar dalam kelam
Menggenggam asa di antara detak waktu yang terbenam
Sebab hidupnya adalah doa yang terus meniti semesta

 

"Untuk apa semua ini?" bisiknya pada cermin berdebu
Bayangan tersenyum lirih, berkata tanpa suara
"Untuk mimpi yang kutanam di jiwa anak bangsa
Mereka melukis langit lebih megah dari cahaya fajar"

 

Dengan langkah tegap menjauh dari altar
Menapaki jalan yang basah oleh embun sisa malam
Pahlawan sunyi tanpa mahkota megah
Menyulam cahaya untuk pagi yang masih terlelap dalam kelam

 

Makassar,25 Januari 2025

Bionarasi


Hj. Agustina, S.Pd., M.Pd.  Lahir di Lemoa, Kab. Gowa Sulawesi Selatan, 10 Agustus 1975. Pendidikan terakhir S2 di Universitas Muhammadiyah Makassar. Mengajar di MAN 2 Kota Makassar. Fasilitator Provinsi PKB Guru mapel Bahasa Indonesia 2021-2024 dan Penulis Modul PKB Guru 2023 pada Kementerian Agama

Mencium Baitullah

 MENCIUM BAITULLAH

Jalal Rebong

(Puisi ini ditulis untuk Aisyah seorang Guru Pelosok)

 


Kutambatkan hati,

berlabuh di dermagamu

karena engkau adalah

doa terakhir dunia akhirat

 

Oh, Aisyah?

Didekap batu baitullah ikrarmu terpahat:

atas nama cinta menetes dalam

larutan kalbu bersemayam

bersama aortaku didih

terpancar di balutan senyum tipis

engkau tak pernah mengeluh saat bahagiamu berubah derita

 

Di atas sejadah aku bersujud

bermunajat kepadaMu Tuhan

berlayar melewati badai

berharap doa-doaku sampai

 

Kini ...

pulau asa terpandang mata

gerombolan badai telah terlewati

Dan ...

sebentar lagi kita sampai

di pulau penuh harap

 

Aisyah,

semoga bahagiamu terkabul atas doaku

 


 Nama Jalal Rebong biasa dipanggil Rifli Balamakin. Alumni jurusan Bahasa dan sastra Indonesia pada Universitas Muhammadiyah Kupang – NTT ini, sejak dibangku SMA sudah tertarik dengan dunia sastra. Beliau berprofesi sebagai guru pada SMAN 1 Ile Ape. Bersama siswa-siswanya telah melahirkan berbagai karya sastra khususnya puisi dalam buku antologi puisi yang diterbitkan oleh PT Nyalanesia pada Tahun 2022 dan 2023. 

Isnin, 3 Februari 2025

Ayah Ngah

 AYAH NGAH

Oleh: AC Jaffrie


Dalam sehari dua ini batuk Ayah Ngah semakin menjadi-jadi. Sudah tiga hari Ayah Ngah tidak menarik beca. Dia mula gelisah.

“Awak nak ke mana tu?” tegur Mak Dara sewaktu Ayah Ngah menyarungkan kemeja jalur kelabu di badannya. Ayah Ngah tidak menjawab.

Ayah Ngah terus menyarungkan baju. Dia memang suka memakai baju jalur kelabu itu semasa menarik beca. Mak Dara, perempuan yang berusia separuh abad itu hanya memandang sahaja gelagat Ayah Ngah. Kehendaknya tidak boleh ditahan. Lebih-lebih lagi Ayah Ngah memang pembengis orangnya. Kalau Ayah Ngah marah, habis semua orang diseranahnya. Mak Dara lebih suka mendiamkan diri. Mak Dara masak benar dengan perangai lelaki itu.

“Aku nak menarik hari ini.”

Sehelai kain putih berukuran kurang dua hasta dibalutkan di kepalanya.

“Awak tu tak sihat lagi. Sehari dua ni awak rehatlah dulu.”

“Aku dah sihat. Aku mesti menarik jugak!" bentak Ayah Ngah. "Nanti tak berasaplah dapur kita!”

“Itu yang awak risaukan. Bekalan kita untuk sehari dua masih ada. Kesihatan awak sikitpun awak tak risau."

“Awak jangan banyak cakap!”

Mak Dara tidak boleh berkata apa-apa lagi. Semakin ditahan semakin kuat Ayah Ngah mendesak. Ayah Ngah memang terkenal dengan perangainya yang panas baran. Seluruh penghuni kampung Alor Akar sudah arif perangai Ayah Ngah tetapi hatinya baik.

Mak Dara kesian melihat Ayah Ngah yang sentiasa bertungkus-lumus untuk menambah pendapatan mereka. Sejak berkahwin dengan Ayah Ngah kira-kira 40 tahun yang lalu, Ayah Ngah sentiasa bekerja keras demi untuk hidup. Sejak usianya muda, Ayah Ngah memang ringan tulang. Itu salah satu sifat rajinnya.

Mak Dara bahagia berkongsi hidup dengan Ayah Ngah. Mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Mak Dara masih ingat lagi bagaimana Ayah Ngah selalu mengusiknya semasa pulang dari kelas mengaji Quran di rumah Lebai Kudin. Masa itu umur Mak Dara dalam lingkungan belasan tahun. Begitu juga dengan umur Ayah Ngah. Kadang-kadang Ayah Ngah akan membawanya menaiki beca kepunyaan arwah bapanya. Itulah beca yang ada sekarang. Ayah Ngah sayang sekali dengan beca pusakanya itu.

Walaupun Mak Dara dan Ayah Ngah bahagia dalam menjalani hidup, tetapi hati mereka selalu sepi. Mereka tidak mempunyai anak. Mak Dara bukan tidak boleh mengandung tetapi semuanya adalah kuasa Tuhan. Sewaktu baru berkahwin dahulu, Mak Dara pernah mengandungkan anak Ayah Ngah yang sulung. Sewaktu kandungannya berusia kira-kira lima bulan, Mak Dara jatuh sakit. Doktor mengatakan dia mengalami ketumbuhan dalam perut. Anak di dalam kandungan keguguran.

Mulai saat itu Mak Dara tidak boleh mengandung lagi. Hatinya hancur luluh. Mak Dara simpati melihat keadaan Ayah Ngah. Pernah dia menyuarakan pendapat supaya Ayah Ngah berkahwin lagi. Mak Dara merelakan, tetapi Ayah Ngah tidak sanggup. Ayah tidak mahu melukakan hati Mak Dara.

Mereka pernah berjanji sehidup semati. Di atas sikap itu walaupun tidak mempunyai anak, Mak Dara sangat sayangkan Ayah Ngah. Ayah Ngah pun begitu juga.

Mak Dara memerhatikan Ayah Ngah dari anjung rumah. Dalam hatinya bercampur sayu. Ayah Ngah mengayuh beca pusakanya perlahan-lahan. Mak Dara memandang dari jauh sehingga bayang Ayah Ngah hilang daripada pandangan. Mak Dara masih gelisah kerana kesihatan Ayah Ngah sering terganggu sejak akhir-akhir ini.

Cuaca hari itu agak panas. Sudah hampir sebulan kampung Alor Akar tidak disirami hujan. Rumput-rumput di tepi jalan dan kawasan sekitar semakin kering. Debu-debu merah mengawang di udara apabila kenderaan melalui jalan yang tidak berturap dan berlubang kecil di sana sini.

  Matahari sudah condong ke Barat. Waktu begini biasanya Ayah Ngah sudah balik dari menarik beca. Ada masa Ayah Ngah pulang awal untuk makan tengah hari dan bersembahyang Zohor.

‘Ah, ke mana pulak perginya orang tua ni?’ getus hati Mak Dara.

Mak Dara meninjau beberapa kali ke arah tingkap rumah tengah yang mengadap arah jalan merah. Mak Dara mengambil kesimpulan Ayah Ngah mungkin makan tengah hari di warung simpang ke pekan Alor Akar. Mungkin juga Ayah Ngah bersembahyang di surau kampung seberang. Selalunya kalau Ayah Ngah ingin makan tengah hari di rumah, dia akan memberitahu Mak Dara. Tetapi hari ini Ayah Ngah tidak meninggalkan sebarang pesanan kepada Mak Dara sewaktu pergi menarik beca tadi.

Belum sempat Mak Dara menuruni anak tangga menuju ke dapur, dia dikejutkan oleh deruman enjin kereta yang kuat di halaman rumah. Dia bergegas semula ke tingkap rumah tengah. Sebuah kereta berwarna biru laut berada hampir dengan anjung rumah depan. Sebentar kemudian seorang anak muda yang berpakaian kemas turun dari kereta itu. Mak Dara menyambut salam yang diberikan oleh anak muda itu.

 “Ini rumah Pak Cik Usop?”

“Ya, tapi dia tak ada di rumah.”

“Mak cik ni isteri Pak Usop?”

Mak Dara mengangguk beberapa kali.

“Mak cik jangan risau. Oh... saya Syafik. Saya datang ni ada sikit hal nak beritahu mak cik. Saya harap mak cik bertenang dan bersabar.”

Mak Dara mulai cemas. Dalam fikirannya hanya ada kelibat Ayah Ngah. Dia diamuk gelisah. Mesti ada sesuatu yang berlaku kepada suaminya itu.

“Tenang mak cik. Sebenarnya, Pak Usop kemalangan.”

“Apa? Kemalangan!”

Gelap terasa pandangan Mak Dara. Tanpa dipaksa, air mata mula membasahi pipinya.

“Ya Allah, selamatkan suamiku!” seru Mak Dara dalam sedu-sedannya.

“Sabar mak cik. Pak Usop tak parah. Mak cik janganlah risau,” pujuk Syafik.

“Di mana dia sekarang?” tanya Mak Dara, masih teresak-esak.

“Pak Usop ada di hospital. Kalau mak cik nak melawat Pak Usop, boleh saya hantarkan. Mak cik bersiaplah.”

Mak Dara akur dengan kata-kata Syafik. Dia segera bertindak. Setelah bertukar pakaian, dia mengikut anak muda itu ke hospital.

Ayah Ngah hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian badan, tangan kirinya patah. Setelah mendapat rawatan selama tiga hari di hospital daerah, Ayah Ngah telah dibenarkan oleh doktor untuk pulang ke rumah.

Mak Dara bising-bising kepada Ayah Ngah. Leternya bukan kerana marah tetapi sayangkan Ayah Ngah. Sudah berkali-kali dinasihati supaya jangan menarik beca atas faktor kesihatan. Ayah Ngah tetap berdegil.

Suatu pagi Mak Dara menghampiri Ayah Ngah yang sedang membersihkan beca. Sayang benar Ayah Ngah kepada beca pusakanya itu. Akibat kemalangan tempoh hari becanya mengalami sedikit kerosakan.

“Macam mana dengan keputusan awak?” Mak Dara bersuara sambil menghulurkan secawan kopi pekat kepada Ayah Ngah.

Ayah Ngah tidak segera menjawab pertanyaan itu. Mak Dara menggeleng beberapa kali.

“Entahlah, hati saya berat nak melepaskannya.”

“Semalam Seman datang lagi. Dia nak tahu keputusan awak. Awak bukannya kuat lagi, elok dijual saja beca ni.”

“Ini beca pusaka Dara. Aku sayang nak jual. Biar pun kita tak ada waris tapi aku tak rela!” tambah Ayah Ngah lagi.

“Awak memang tak serik. Seman dah sanggup nak beli beca buruk ni. Awak tu bukan kuat lagi nak menarik. Apa yang awak risaukan sangat? Duit jualan harian kuih saya dah cukup untuk menampung hidup kita berdua.”

Ayah Ngah termenung. Lama dia memerhatikan beca pusakanya itu. Mak Dara terus berlalu. Bunga bimbang mekar di dadanya.

Sejak Ayah Ngah kemalangan tempoh hari, beca pusakanya hanya tersadai di bawah rumah. Kerosakan pada beca itu Ayah Ngah baiki sendiri. Biarpun beca tersebut boleh digunakan semula tetapi ternyata Ayah Ngah belum sembuh sepenuhnya. Seman sudah beberapa kali datang mahu membeli beca tersebut tetapi hatinya berat untuk berbuat demikian. Ayah Ngah tersentak dari lamunan apabila kedengaran deruman enjin kereta di halaman rumahnya. Seorang anak muda menghampirinya.

“Apa khabar pak cik?”

“Baik, anak ni siapa?”

“Saya Syafik. Saya datang ni ada hal sikit nak beritahu pak cik dan mak cik.”

“Ohh, anak ni yang membantu pak cik tempoh hari. Terima kasih. Kalau tak ada Syafik tak tahulah apa yang akan terjadi pada pak cik. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi baik kamu.”

“Itu sudah tanggungjawab saya. Hari itu hari pak cik, esok lusa mungkin hari saya pulak!”

“Jemputlah naik ke rumah!” seru Mak Dara dari anjung rumah.

Hampir setengah jam Syafik berbual dengan Ayah Ngah dan Mak Dara. Selain ada sedikit urusan, Syafik bertanyakan khabar kesihatan Ayah Ngah. Sikap ramah yang ditunjukkan oleh Ayah Ngah dan Mak Dara membuatkan Syafik cepat mesra dengan mereka.

“Err...  saya tak boleh lama di sini. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan pada pak cik dan mak cik. Mulai hari ini pak cik berdua tak usahlah bekerja keras lagi. Rehat saja di rumah. Saya sudahpun berjumpa dengan Tok Sidang minggu lepas untuk dapatkan sedikit maklumat dan pengesahan tentang keluarga pak cik. Kebetulan saya bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya sudah kemukakan masalah pak cik di jabatan ini. Sekarang permohonan tersebut sudah diluluskan. Mulai bulan ini pak cik atau mak cik boleh mengambil bantuan kewangan bulanan daripada pihak kami. Ini surat kelulusannya,” beritahu Syafik sambil menghulurkan surat berkenaan kepada Ayah Ngah.

Ayah Ngah dan Mak Dara tidak berkata apa-apa. Mereka benar-benar terharu. Pandangan mereka nampak tepu kerana air mata bergenang di kolamnya. Selepas masa berjeda, Ayah Ngah mula melontar suara kepada anak muda di hadapannya itu.

“Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana ada insan sebaik dan semulia anak. Terima kasih kerana sudi membantu pak cik dan mak cik...” ucap Ayah Ngah sambil menahan sebak.

“Itu dah memang tanggungjawab saya pak cik. Saya cuba bantu apa yang sepatutnya. Mungkin ada hikmahnya pertemuan kita dulu. Dah memang rezeki pak cik dan mak cik sebab memang layak terima bantuan ini,” balas Syafik dengan rasa terharu. Tiba-tiba dia teringatkan wajah kedua-dua orang tuanya yang sudah lama meninggal dunia.

“Kenapa anak menangis?” soal Mak Dara sedikit terkejut.

“Err… tak ada apa-apalah mak cik. Saya teringatkan arwah kedua-dua orang tua. Bila jumpa pak cik dan mak cik rasa terubat rindu. Maafkan saya pak cik, mak cik,” ujar Syafik sedikit beremosi.

“Kalau anak tak kesah, anggaplah kami sebagai keluarga anak. Kami pun tak ada anak sepanjang perkahwinan ini…” tambah Mak Dara lagi. Pak Usop mengangguk tanda setuju.

Syafik memeluk Pak Usop seeratnya. Dia turut sama terharu. Sekurang-kurangnya dia masih ada tempat untuk mencurah kasih. Beban rindu yang sarat terungkai juga. Begitu juga dengan Pak Usop dan Mak Dara. Mereka turut rasa bahagia. Tanpa disangka ada rezeki yang tiba di hujung hayat kehidupan mereka.  

 

SEBUAH PESAN Karya : Sahbuddin Dg. Palabbi

  SEBUAH PESAN Sahbuddin Dg. Palabbi Rina, seorang jurnalis investigasi. Ia sedang menyelidiki sebuah kasus pembunuhan misterius. Korbanny...

Carian popular