YA RAB, KEKALKAN KESUCIAN IMANKU
Oleh: Mohd Rani Mohd Tahir
Saat diri diasak pawana dosa
melayang ligat di minda nafsu
kucuba bersahabat dengan waktu
memercik wuduk menjernih jiwa
menjerlus melenyap aliran dosa
meluruh melandai di hati pendosa.
Ya Rab, aku rapatkan dahi di lantai sepi
tawajuh santun meruntun doa
membajai hati merapati iman
menyemai jiwa seronok beramal
mengharap kasih mohon keampunan.
Ya Rab, kekalkan iman, biar mekar
terus menyinggah, biar gagah
agar akhlak solat yang aku kerjakan ini
dapat aku bawa dan praktikkan, biar sebati
menjunjung kasih sayangMu, Rabbul Izzati.
Ya Rab, kekalkan kesucian imanku
agar rimbun, meneduh, menguasai hidup
bergulir iman di selimut kesucian
agar redhaMu bisa terjamin, Rabbul Alamin.
Putrajaya
23 Mac 2025
BIODATA
Mohd Rani Mohd Tahir. Lulusan cemerlang jurusan Seni bina dan Pengajian Melayu. Temui bakat menulis setelah memenangi lebih 20 sayembara pelbagai genre di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Telah menghasilkan lebih 25 Antologi pelbagai genre dan tiga buah buku solo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan