Ahad, 31 Ogos 2025

 Suhaimi Jasnah

Pahlawan Kemerdekaan


Dalam gelita penjajahan yang membatu

muncul bayangmu, laksana bayu berduri

langkahmu deras menentang badai

di dada terpahat sumpah abadi

tanah ini bukan untuk diinjak hamba


Darahmu bukan sekadar tumpah

tapi tinta pada manuskrip kemerdekaan

tulangmu retak bukan lemah

tetapi tiang kepada langit kebebasan

kau teguh, meski langit runtuh.


Apakah takut itu wujud dalam jiwamu?  

atau kau tukarkannya menjadi bara perjuangan

rantai besi kau patahkan dengan doa

peluru menjadi irama dalam zikirmu

dan tangisan bangsa jadi alasan kau mara.


Bendera belum berkibar waktu itu

tapi dalam matamu  langit sudah cerah

kau bukan wira bersayap mitos

tetapi insan, yang mengangkat dunia  

dengan sekeping hati yang tidak gentar.


Kini, kami melangkah atas tapakmu

tetapi benarkah kami sedar erti bebas?  

kau relakan segalanya demi bangsa

apakah kami mampu menjaganya?  

pahlawan, rohmu jadi cermin untuk kami.



SMK Penangah, Telupid 

(27 Ogos 2025)

Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular