Selasa, 4 Mac 2025

Kasih Bertaut Kembali


KASIH BERTAUT KEMBALI

 Oleh: AC Jaffrie


         “Nasi dah jadi bubur. Nak menyesal pun dah tak ada guna!” masih terngiang-ngiang suara kasar ayah menempelak di telinga. Aku cuba menahan kesakitan yang amat sangat. Sudah beberapa hari aku terbaring di katil hospital akibat kemalangan jalan raya. Motorsikal yang aku naiki rosak teruk kerana terbabas asbab berlumba motor haram. Saat ini, penyesalan tiada penghujungnya.


       “Sekarang siapa yang susah?” leteran ayah masih bertalu-talu memukul gegendang telinga. Aku sangat tidak selesa apabila menerima leteran demi leteran. Sudahlah seluruh badan aku sakit, ditambah dengan kata-kata kasar daripada ayah, semangat aku jatuh merudum. “Sendiri cari penyakit, sendiri tanggung sakitnya!”
     

        Aku bernama Ismail. Itu kisah kemalangan yang menimpa aku setahun yang lalu. Ketika itu aku berumur 19 tahun. Masa itu aku memang minat sangat dengan aktiviti bermotorsikal. Aku anak lelaki tunggal dalam keluarga. Ayah memberi izin kepada aku menggunakan motorsikal kapcainya. Apabila sudah ada kemahiran menunggang motorsikal, memang aku lenjan motor kapcainya keliling kampung bersama kawan-kawan.  


       Bila sudah seronok, maka timbul idea untuk berlumba motor. Aku dan kawan-kawan sudah sepakat. Maklumlah pada usia yang muda, darah cepat panas. Pantang dicabar oleh kawan-kawan, aku mulalah tidak mahu mengaku kalah. Kebiasaannya kami berlonggok di suatu tempat waktu malam. Sampai berborak dan minum-minum kami mula merancang sesuatu. Setiap kali malam menjelma, aku akan keluar rumah untuk berjumpa dengan kawan-kawan sama hobi ini. Bila sudah buat sekali maka akan ada kali keduanya untuk berlumba. Mulanya sekadar suka-suka tetapi lama-lama sudah menjadi satu kebiasaan pula.


       Pada malam kejadian, aku bersama-sama beberapa orang kawan sepakat mahu melakukan aktiviti lumba motor haram di jalan tar yang baru siap. Ketika itu hujan renyai. Semangat muda kami semua tetap panas membara. Apa yang sudah dirancangkan akan dilaksanakan juga. Tiba masanya, acara berlumba motor akan bermula. Selalunya aku akan digeruni oleh kawan-kawan. Semasa itu, aku memang selalu jadi juara yang sampai dahulu di garisan penamat.


            Betul kata orang tua dulu-dulu. Malang memang tidak berbau. Walaupun kita sudah berhati-hati tetapi kemalangan tetap boleh berlaku dengan sedikit kecuaian. Jalan tar yang ditimpa hujan menjadi licin. Pada selekoh terakhir motorsikal yang aku tunggang terbabas. Akibatnya aku tercampak dan terperesok ke dalam parit di kiri jalan. Kesan hentakan yang kuat membuatkan aku terus hilang ingatan. Sedar-sedar aku sudah terbaring di atas katil hospital. 


     “Kau nak ke mana, Mail? Asal malam saja kau hilang, tak tahu nak duduk rumah!” tukas ayah cuba menasihatkan aku pada malam sebelum kejadian berlaku.


       “Mail nak jumpa kawan kejap. Ada sikit hal nak bincang.” 


Aku sahaja menberi alasan. Kalau aku senyap, makin bertalu-talu pula soalan lain akan ditanya. Bagi aku, ayah memang sengaja tidak mahu faham kehendak orang muda seperti aku. Dahulu ayah juga pernah muda. Kenapa ayah terlalu menyekat apa yang aku mahu buat? Aku tidak mahu menjadi anak yang kurang ajar kepada orang tua. Segala perasaan tidak puas hati aku simpan dalam dada. Kalau marah sekali pun, aku lepaskan di jalan raya. Bila selesai berlumba, perasaan aku sangat lega.


       “Berapa juta projek yang kau nak bincang itu? Ayah dah lama perhatikan kau, bila malam tak lekat di rumah!”


    “Bosanlah hari-hari duduk rumah. Mail keluar jumpa kawan-kawan saja.”


      “Bosan? Kau melepak siang malam tak pula bosan!”


 Ayah berterusan mahu berkeras. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Apa lagi helah yang aku kena buat untuk buat ayah diam? Aku mesti cari alasan supaya ayah benarkan aku keluar jumpa kawan-kawan. Jam dinding di ruang tamu menunjukkan hampir pukul 8.45 malam. Selalunya pukul 9.00 malam kawan-kawan sudah berkumpul di tapak perjumpaan. 


      “Errr… Mail janji balik sebelum pukul 12.00 malam.”


   “Selalunya selagi ayam tak berkokok, mana kau ingat jalan balik rumah!”


     Makin sakit telinga aku mendengar leteran ayah. Ada sahaja jawapannya kalau aku cuba menjawab. Lebih baik aku diam. Diam tidak bermakna aku setuju dengan kata-kata ayah. Kalau melawan nanti dituduh aku anak kurang ajar. Jadinya aku serba salah. Masa berjeda seketika. Akhirnya ayah tenang seketika.


      “Kau nak keluar, sembahyang Isyak dulu.”


     Kata-kata itu buat aku mahu melompat. Sekeras-keras hati ayah, akhirnya dia mengalah juga. Tidak ada seorang ayah mahu anaknya susah. Aku juga faham tetapi demi memuaskan hati sendiri maka aku bukan kesah sangat nasihat daripada ayah. Apa yang penting kehendak diri sendiri tertunai. Dengan berat hati, kaki melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil air sembahyang. Cepat aku menunaikan sembahyang Isyak maka cepatlah aku dapat berjumpa dengan kawan-kawan.


         Aku memang ada impian, ada cita-cita dan apa sahaja tentang hidup tanpa memikirkan perasaan orang lain. Bagi aku, apa yang aku lakukan adalah betul. Apa tindakan yang diambil, itulah keputusan yang terbaik. Aku sering mengabaikan nasihat ayah yang sememangnya mengajar tentang erti dan nilai kehidupan yang sebenar. Mungkin pengaruh kawan-kawan sebaya membuatkan aku lebih mempercayai mereka. Keseronokan antara faktor buat aku hanya berfikir untuk diri sendiri. Bila terlalu leka bersama kawan-kawan, tanpa sedar malam sudah jauh berlalu. Situasi ini sudah pasti mengundang leteran daripada ayah keesokan hari. 


        “Waktu subuh dah nak habis, bangun cepat! Inilah bahana balik lambat, tidur lewat!” tukas ayah terus berleter panjang usai pulang bersembahyang subuh dari masjid. “Apa nak jadi dengan kau, Mail?”


    “Hmm… nak bangunlah ni…” ucap aku dengan mata masih terpejam. Rasa malas memang beraja di hati. Kelopak mata pun susah mahu terbuka.


        Aku memang lebih pentingkan diri sendiri. Leteran yang datang akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Apa yang keluar dari mulut ayah, terpaksa aku hadap. Pahit atau manis terpaksa aku telan. Nasihat ayah umpama mencurah air di daun keladi. Bukan salah ayah kurang mendidik atau memberi kasih sayang tetapi itu yang aku pilih. Aku mahu bebas dengan dunia sendiri. Aku akan buat apa yang aku suka.


       Ayah memang seorang yang tegas. Apa sahaja yang kurang di matanya tentang aku pasti akan ditegur. Cara ayah memang tidak sama dengan cara arwah emak menegur. Emak lebih berdiplomasi tetapi ayah menegur terus tanpa ada kiasan. Cara emak lebih bertolak ansur banding dengan ayah. Mungkin faktor jantina mewujudkan perbezaan ini. Kalau arwah emak masih ada, aku tidak jadi seperti aku yang sekarang. Tiba-tiba aku rindu kepada arwah emak.


         “Kau nak jadi apa? Orang kalau malas pasti ketinggalan. Hidup ini keras!”


      Setiap kali ayah membebel, aku lebih suka mendiamkan diri. Memang bebelan itu umpama nasihat tetapi aku buat-buat tidak faham. Aku mahu mengisi ruang masa muda dengan melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati. Malas aku mahu memikirkan tentang masalah. Masa sekarang lebih penting dari masa depan. Biarlah ayah bising-bising. Ayah memang mahu melihat perubahan dalam diri aku. Cuma aku yang tidak memberi apa-apa reaksi.


        Suatu malam, pernah aku tidur dengan perasaan yang kosong. Aku teringat semula kata-kata ayah tentang hidup di masa depan. Seiring usia yang meningkat maka tanggungjawab kepada diri juga akan meningkat. Betul kata ayah, sekarang aku bujang. Sampai suatu masa aku akan ada keluarga sendiri. Bila sudah berkeluarga pasti akan datang macam-macam cabaran hidup. Kos hidup, masalah kesihatan dan sebagainya akan timbul. Masa inilah kita akan tertekan dan menyesal mengabaikan masa lalu.


        “Selagi ayah ada, boleh ayah bantu. Esok kalau ayah dah tak ada, macam mana?”


       Ayah bukan sahaja risaukan keselamatan aku, malah sangat khuatir tentang masa depan aku. Sikap acuh tak acuh aku membuatkan ayah sentiasa bimbang. Aku lebih memilih mengejar kenikmatan yang bersifat sementara dari memikirkan akibatnya. Aku lebih melihat waktu sekarang dari kesusahan di masa akan datang. Bukan aku tidak sedar tetapi aku memang keras hati dan degil tidak mahu mengikut kata. Kalau ajakan kawan-kawan, cepat sahaja aku bertindak.


      “Malam ini kita jumpa di tempat biasa. Kalau line clear kita rempit!” 


          “Tak ada hal, beres!”


          “Siapa menang ada habuan menanti!”


          “Kalau bukan aku yang menang, siapa lagi!”


          “Belum cuba, belum tahu!”


         Begitulah selalu berlaku. Cabar-mencabar perkara biasa. Apa lagi apabila ada kawan-kawan lain yang memberi api. Semakin meluap-luap semangat hendak berlumba. Walaupun habuannya tidak seberapa, kemenangan itu yang paling penting. Rasa bangga diri tidak terbendung. Timbul juga perasaan ego sebagai seorang juara. Sanjungan dan pujian kawan-kawan buat aku lupa sebentar kepada diri sendiri. 


      Bukan sekali dua aku sudah berlumba motor haram. Bukan semua perkara manis yang aku dapat. Kesan luka dan melecet terjatuh motor juga biasa. Banyak kali juga aku dan kawan-kawan dikejar pihak polis. Setakat yang ada, belum lagi aku tertangkap oleh pihak berkuasa. Malah ayah juga masih belum menghidu kegiatan malam aku dan kawan-kawan. Cuma ayah pernah berpesan supaya jangan membuat perkara yang boleh merugikan diri sendiri.    

   
    Aku tidak pernah terfikir akan melalui detik yang paling menyakitkan dalam hidup. Kemalangan sudah berlaku. Mahu tidak mahu aku terpaksa terima dan tanggung akibatnya. Berbaring di atas katil hospital selama berminggu-minggu buat aku bertambah bosan. Kaki kanan terpaksa disimen kerana retak dan patah. Sakitnya memang tidak tertanggung. Kawan-kawan pun jarang datang melawat. Bukan mereka tidak ingat kepada aku, tetapi takut kena sumpah seranah dengan ayah agaknya. Ayah aku memang tegas dan tidak akan bertolak ansur. 


       “Mana kawan-kawan kau semua? Satu batang hidung pun ayah tak nampak!”


        Sakit hati aku menelan kata-kata ayah itu. Sekarang baru aku tahu siapa yang ada setiap kali ditimpa kesusahan dan musibah. Sebising-bising mulut ayah, dia ayah tetap ada di sisi untuk memberi kekuatan dan semangat. Walaupun caranya keras tetapi itulah hakikat yang aku wajib terima. Hanya pada ayah aku terpaksa bergantung harap dalam keadaan sukar ini. Kawan masa ketawa memang ramai, kawan masa menangis entah pergi ke mana. Semuanya hilang ghaib. 


       Saat inilah aku teringat segala pesan ayah dahulu. Segala yang dikatakan menjadi benar sekarang. Kalau susah kita cari maka susahlah kita mendapat. Kawan-kawan yang ada ibarat air yang mengalir. Masing-masing ada urusan sendiri. Tidak ada masa untuk memikirkan masalah orang lain. Mereka ada dalam hidup tetapi sekadar memandang dan menghulur rasa simpati. Kemalangan ini memang ada hikmahnya. Ini menjadi titik tolak untuk aku melihat pengorbanan ayah melalui mata hati dan fikiran terbuka.


       Ayah tidak pernah meminta apa-apa daripada aku. Dalam apa keadaan sekali pun, ayah tetap ada bersama aku. Dalam marah dia tetap memberi sokongan moral supaya aku kuat melawan sakit yang ada. Ayah tidak mahu aku mengeluh dan menyalahkan takdir. Sakit yang aku dapat adalah pilihan sendiri. Cuba aku tidak berlumba motor haram, tentu kesakitan ini tidak aku tanggung. Cuba aku dengar cakap ayah, musibah ini mungkin tidak berlaku. Nasihat ayah tidak boleh dikesampingkan. Aku mesti berubah.


     Aku akan mendengar segala nasihat ayah. Selain kepada Allah SWT, kepada ayah aku bergantung harap. Pengorbanannya bersama arwah emak memang tidak terbanding membesarkan aku selama ini. Mereka tidak pernah jemu memberi nasihat supaya aku menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Cuma aku yang mengeluh dan tidak pernah bersyukur pengorbanan mereka selama ini. Tiada apa yang diminta melainkan sedikit perhatian dan kasih sayang. Impian mereka mahu aku berjaya dunia dan akhirat.


    Aku menyesali segala perbuatan lalu. Aku menyesal kerana mementingkan ego sendiri dan tidak mahu mendengar nasihat ayah. Sesungguhnya, kasih sayang daripada keluarga sangat tinggi nilainya. Sesuatu yang tidak dapat digantikan dengan apa-apa. Penyesalan ini masih belum terlambat untuk mengubah hidup aku di masa depan. Aku akan hargai setiap detik bersama ayah sehingga hayatnya yang terakhir. Aku akan buktikan bahawa masih ada lagi peluang untuk berbakti dan menjadi manusia berguna kepada keluarga dan masyarakat.


       Penyesalan itu memang berat, tetapi ia adalah guru yang terbaik. Ia mengajar aku tentang keinsafan, tentang pentingnya menghargai orang yang kita sayangi, tentang mengutamakan mereka yang selalu berada di sisi kita. Kini, setiap hari adalah kesempatan untuk membuktikan bahawa aku masih anak yang baik untuk keluarga. Aku mahu menjadi seperti kiambang, bila biduk berlalu, kasih bertaut kembali.


****

Ahad, 2 Mac 2025

Kusambut Ramadan

 KUSAMBUT RAMADAN

Karya: Mutiara


Datangmu kusambut dengan segudang harapan

Rinduku telah tiba pada saat akhir padamu

Kekosongan hati ini mendambamu

Kusiapkan diriku dengan kekuatan hati


Berkaca dari pertemuan lalu denganmu

Dari dosa-dosa yang membayang sepanjang tahun

Dari refleksi yang belum juga tercapai

Dari doa-doa yang setiap waktu dikumandangkan

Dari berbagai kondisi yang dialami, sedih, bahagia, kecewa...


Ramadan...akankah kutempuh hingga akhir...hingga fitrahnya?

Nawaitu kumulai dengan niat

Bismillah, sabar kusiapkan

Ikhlas dengan banyak zikir

Semoga Engkau dengar ya Allah

Wajah di Air Sunyi

 WAJAH DI AIR SUNYI

Karya: Kims Diwa 




Air sunyi menatap aku

bukan sekadar bayang yang goyah

tetapi riak yang berserak

antara bening dan lumpur gelisah


Lapar ini bukan sekadar perut

tetapi hati yang menagih teduh 

haus ini bukan sekadar tekak 

tetapi jiwa yang retak lalu luruh


Detik mengasah urat kesabaran

siang menentang cahaya tajam 

malam menggulung selimut waktu

di antara syahdu dan keliru


Air sunyi membisik dosa 

gusar..

gusar..

makin berombak

seperti bayang enggan karam

di dada takdir berkaca


Adakah puasa sekadar penahanan?

 atau nyala yang menyucikan? 

adakah ini sekadar perintah? 

atau pulang ke cahaya yang hilang?


Saat tubuh sujud ke bumi

bayang pun larut dalam takwa

dan aku akhirnya mengerti...

puasa bukan sekadar kekosongan 

tetapi menemukan 

cahaya

yang tersimpan 

di dalam!


KIMS DIWA 

28/02/2025

Telupid, Sabah.



Sabtu, 1 Mac 2025

Keberkahan Illahi

KEBERKAHAN ILLAHI

Karya: Jcka Daily 


Sapaan Ramadhan menjemput dinihari

kudakap pintu bulan puasa penuh suci

kulihat sendiri pada retakan cermin

debu-debu kelabu membeku tersimpan.


Rupanya diri terpenjara dalam kegelapan

kegersangan jiwa merindui keampunan

hati bagai api menjerat ketenangan

jadi hamba dosa menjerut pintu batin.


Ramadhan digenggam hangat kasih

kembali menyentuh pelukan tasbih

mentaati segala perintah Ilahi

jalan tobat akan bersinar lagi


Keheningan malam mengikat doa pada-Nya

biar mengejar cahaya mengukir Surga

langitkan sujud merentasi tangisan syahdu

menanti keberkahan Ilahi yang ditunggu.


Jcka Daily 

Penampang, Sabah, Malaysia

1 Maret 2025


Rindu Ramadan

 RINDU RAMADAN

Karya: AC Jaffrie 



Ramadan penuh berkah

berpilin doa tangan menadah

selamat datang Ya Ramadan 

maghfirahmu jadi sebutan.


Ramadan penuh cahaya 

menjadi penyuluh menerang jiwa

bersujud bertahmid sepanjang malam

penuh kasih bersambut salam. 


Ramadan penuh syukur 

saling memberi rezeki ditabur 

susah senang sama merasa

miskin kaya tiada beza.


Ramadan penuh mulia

jangan semarak api sengketa 

bermaaf-maafan menyatu ummah

mengikat kuat tali ukhuwah. 


Ramadan penuh rindu

gunung harapan mekar menggebu

bersilih tahun datang bersambut

Ya Ramadan, namamu kusebut!


Rumah Bonda, Melaka

24012025

HAUS


HAUS

Karya : Izzcandrasakata 



Di padang jiwa yang rekah,

kering retak menanti hujan,

hembusan angin pun tiada makna,

kerana haus bukan pada tekak,

tapi di lubuk hati yang gersang.


Ramadan mengetuk pintu batin,

membawa sungai dari langit,

sejuknya menyingkir debu nafsu,

membasuh dahaga berabad luka,

menyubur kasih yang pernah pudar.


Namun, air rahmat ini

bukan sekadar untuk diteguk,

tapi disebar ke tanah kontang,

agar selepas bulan ini berlalu,

subur tetap bernafas, haus tidak kembali.


Izzcandrasakata 

Pelaku Puisi

Cermin Wajah di Telaga Waktu

Cermin Wajah di Telaga Waktu

Karya:  Nelly Amalia



Di ambang fajar yang merintih sunyi,

Ramadhan mengetuk hati yang letih,

seperti bayang di telaga waktu,

Membuka jendela hati yang lama buta,


Duhai insan yang tertatih di lorong fana, 

berapa banyak langkahmu tersesat, 

berapa doa kau tinggalkan sunyi,

hingga imanmu menggigil sendiri?


Lihatlah dirimu di cermin sahur,

adakah lapar yang kau derita,

lebih pedih dari hausnya jiwa,

yang lama meratap di gurun dosa?


Dengar suaramu di sunyi tahajud,

tundukan wajahmu di gemetar sujud, 

adakah getar yang sungguh menghiba,

atau sekedar bibir yang menggumam doa,

atau sekadar lantunan lirih,

yang enggan merobek langit pertaubatan?


Ramadhan adalah gerimis yang lirih,

ramadhan adalah cermin yang bening,

tempat segala noda dan dosa terpantul telanjang,

membasuh prasangka, meluruhkan dusta,

adakah kau melihat wajah yang suci, atau bayangan yang kau sendiri takutkan?


Duhai jiwa yang dirundung waktu,

jangan sampai bulan berlalu,

tapi dosa tetap bersandar tenang,

seperti batu di dasar lautan.


Angkat wajahmu di penghujung sahur,

renungkan bayang yang kau tatap sendiri,

Ramadhan bukan sekadar tamu,

ia cermin… yang menelanjangi nurani.

SITI, “ MUKKENAH PUTIH”

 SITI, “ MUKKENAH PUTIH”

Karya: Jalal Rebong




Beduk subuh terdengar di langgar tua 

Lantunan suara adzan menggema menyambut Doa

ayam berkokok ria  menghantar fajar 

Lorong – Lorong terlihat ramai anak ke surau 


Siti …

Gadis kampung bermukennah Putih 

Melangkah sambil melantunkan zikir


Astagfirullahalazim …

Keagungan asmamu seraya menada diatas sejadah

Ramadhan penuh Ampunan

Merahi amal menabur sedekah


Siti …

Tak perlu sesal dalam heningnya malam

Bulan puasa penuh maghfirah

Tengada tangan lantunkan doa – doa suci


Separuh Ramadhan berlalu

Aku meminangmu dengan Bismillah



Jalal Rebong

Lembata, 28 Februari 2025

Jumaat, 28 Februari 2025

Cinta Sampai Mati


Cinta Sampai Mati
Oleh: AC Jaffrie





FITRI benar-benar tertekan. Bukan niatnya untuk menyakiti hati Ayunie. Dia sendiri tidak dapat menerima apabila maruah dirinya dipijak melata oleh insan yang dia sayangi. Kata-kata pedas yang dilemparkan oleh Ayunie pada lewat pertemuan mereka, benar-benar membuatkan dia berfikir banyak kali. Dia tetap dengan pendiriannya sendiri. Malah sanggup kehilangan cinta yang sekian lama tumbuh subur antara mereka.  

        “Mengapa diam? Apit memang tak sayangkan Unie?” tempelak Ayunie tanpa dapat bersabar lagi. Perasaan marah dan tidak puas hati terus membuak-buak di rongga dada. Panggilan nama Apit adalah sahutan mesra buat kekasih hatinya itu.

        “Siapa cakap Apit tak sayang Unie? Apit tak cakap pun, itu Unie yang kata!” balas Fitri tidak tahan dengan tuduhan melulu Ayunie. Dia sebenarnya berada dalam satu keadaan sukar. Kompas cintanya seperti hilang arah.

        “Habis tu mengapa Apit tak buat sesuatu untuk selamatkan cinta kita?” tukas Ayunie masih tidak berpuas hati. Dia terus mendesak. Fitri terus tertekan. Bukan hanya perasaan tetapi pemikirannya juga.

        “Cinta? Unie nak Apit selamatkan cinta ini sendirian? Tanggungjawab Unie macam mana pulak?” soal Fitri kembali. Dia mahu Ayunie turut sama bertanggungjawab atas cinta mereka. Jiwanya semakin lemah. Kenyataan hidup seolah-olah tidak menyebelahinya. 

       “Apit lelaki, Apit kena lebih bertanggungjawab!” sela Ayunie masih mahu meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ke bahu lelaki itu.

“Unie nak Apit buat apa?” soal Fitri sekali lagi memohon diberikan akal. Dia masih buntu memikirkan soal itu. Gadis itu terlalu mendesak. Kesakitan yang ditanggung biar bersama.

        “Apit sayangkan Unie?” Ayunie menyoal lagi lelaki yang sedang buntu itu. Dia akan terus mendesak. Dia mahu tahu satu jawapan yang mutlak.

Fitri perlukan jawapan, bukan soalan. Dia rasa terperangkap dengan diri sendiri. Apa yang perlu dijawab? Seikhlasnya memang dia mencintai Ayunie. Sejak mengenalinya lebih lima tahun lalu, sehingga kini perasaan itu belum berubah. Tanpa suara, hanya keluhan yang mendesah keluar dari rongga kerongkongnya. Ayunie cepat membuat kesimpulan.

        “Hmm… Unie dah agak. Memang Apit dah berubah, dah tak sayangkan Unie lagi. Patutlah Apit buat tak kesah. Agaknya Apit dah ada perempuan lain!” 

        “Jangan melampau Unie. Jangan menuduh tanpa bukti. Bercakaplah dengan fikiran, bukan ikut perasaan. Sayang dan cinta Apit sikit pun tak berubah. Keadaan yang memaksa kita membina jurang bahagia. Sebagai lelaki, Apit tetap ada pendirian. Bukan lemah bak melukut di tepi gantang. Ego lelaki tak kan benarkan perasaan ini terus berharap pada cinta yang kecundang. Kalau luka, biarlah Apit tanggung sendiri.  Walaupun tanpa derai air mata, dalam hati Apit tetap kecewa!” puas Apit meluahkan apa yang terbuku di dada. 

Di mata Ayunie nampak berkaca. Jawapan lelaki itu sangat jelas. Dia masih disayangi.  Tapi kenapa perasaannya macam tidak percaya? Lelaki itu juga kecewa. Tidak ada kesungguhan meneruskan cinta yang telah lama dibina. Sikap lelaki itu terus berubah. Semuanya bermula dengan satu perkhabaran. 

Ayunie guman sendiri. Haruskah dia yang dipersalahkan kerana membawa perkhabaran itu? Bukan salah dirinya, itu semua kehendak keluarga. Namun itu adalah punca hubungan yang manis bertukar menjadi pahit. Keluarganya masih berkeras mahu menerima lamaran Zariq, pemuda pilihan mereka. Satu janji penyatuan hidup juga sudah dirangka.

        “Unie memang kecewa sangat. Macam inikah sikap seorang lelaki yang Unie mahu harapkan? Unie perlukan seorang lelaki yang bertanggungjawab. Bukan lelaki lemah macam ni!” tukas Ayunie membuatkan Fitri rasa terhina. Kata-kata itu sangat menjengkelkan lelaki sepertinya.

       “Apit tak kesah Unie nak kata apa. Apit pun ada prinsip hidup. Tak guna kita teruskan hubungan ini kalau tanpa restu orang tua. Jangan jadi anak derhaka kerana cinta. Cinta saja tak kan bawa kita ke mana-mana kalau ada hati-hati yang kecewa. Apit tak kan salahkan cinta sebab cinta itu tulus…”

        “Jadi Apit nak nak salah Unie? Tak setia pada cinta!”

Fitri terdiam. Siapakah yang bersalah dalam soal ini? Dia atau Ayunie? Atau keluarga Ayunie? Sakit kepalanya mula berganda. Memikirkan soal itu, segala urat dan nadinya turut menjadi sakit. Inikah penangan cinta? Bahagia di permulaan, kecewa di pengakhirannya. Dia sudah cukup berterus terang tetapi gadis itu yang tidak memahami. Hanya desakan demi desakan mengasak fikirannya supaya terus setia.

        “Jawablah Apit. Berdiam tak kan selesaikan masalah. Unie nak kita selesaikan masalah ini sekarang jugak!”

        “Apa lagi yang boleh Apit buat kalau keadaan dah jadi macam ni? Apit tak nak dituduh sebagai perampas dan pemusnah kebahagiaan hidup orang lain. Unie masih ada keluarga, lainlah Apit yang hidup sebatang kara. Susah senang tak ada orang nak peduli. Merekalah pelindung Unie bila-bila masa. Hmm… Apit buntu nak buat keputusan. Apit terpaksa reda kalau ini memang takdir-NYA untuk kita.”

Ayunie tidak puas hati dengan jawapan Fitri itu. Alasan demi alasan itu sengaja dicipta demi tidak meneruskan hubungan antara mereka. Dia benar-benar tersepit antara perasaan sendiri dengan permintaan keluarga. Dia sebenarnya masih sayangkan Fitri. Biarpun marah, dia masih mengharapkan Fitri terus memilihnya sebagai suri di hati.

        “Unie tahu, Apit masih sayangkan Unie. Unie pun sayangkan Apit. Kita perlu buat sesuatu…” Ayunie terus mengumpan perhatian Fitri supaya bersetuju dengan cadangan yang akan diberikan.

        “Kita nak buat apa?” soal Fitri ingin tahu agenda Ayunie seterusnya.

    “Kita kahwin lari!” pantas Ayunie mengusulkan pendapatnya. Wajahnya penuh harapan. Kata-kata itu membuatkan Fitri melopong mulut. Antara terkejut dan terkesima, dia pantas bersuara.

        “Ini kerja gila. Sanggup Unie buang keluarga demi cinta?”

        “Kalau ini sudah takdir-NYA, memang Unie sanggup. Semuanya demi cinta kita!”

Fitri gumam sendiri. Dia sebenarnya tidak sanggup menyahut cabaran itu. Sekeras-keras hati lelakinya, dia masih boleh berfikir mengikut pertimbangan akal. Kerana cinta, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Dia perlukan sedikit masa untuk merungkai segala yang kusut. Dia yakin dengan janji ALLAH SWT, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Jika tidak, dia akan reda sahaja.

*******

SUDAH sebulan berlalu. Fitri tidak mendengar sebarang perkhabaran tentang Ayunie. Talian telefon yang biasa digunakan langsung tidak berjawab. Setiap kali dihubungi, hanya suara mesin yang menjawab. Semua panggilan menyatakan gadis itu berada di luar kawasan liputan. Fitri rasa gelisah. Dia rasa bersalah. Mungkinkah Ayunie merajuk lalu terus membawa hati? Rajuk perempuan selalunya begitu.

Dia seperti kehilangan. Duduk berdirinya serba tidak kena. Dia sudah macam orang sasau. Setiap detik terus merindui Ayunie, gadis yang sudah sekian  lama bertahta di hatinya. Keluhan demi keluhan bersilih ganti dengan nafasnya yang mendengus. Entah mengapa, bayangan Ayunie terus bertalu-talu mengasak ruang mata. Fikiran Fitri menjadi semakin tidak keruan. Degup jantungnya kembali bergetar. 

Bagi mengurangkan tekanan di fikiran, Fitri mengambil keputusan untuk bersiar-siar ke jeti pendaratan ikan tidak jauh dari tempat dia tinggal. Sesekali menghirup udara segar di kawasan pantai memang mendamaikan. Hilang seketika rasa gundah yang memutik di dada. Fitri terus mengatur langkah menyusur kawasan jeti. Bot-bot nelayan yang bersusun di air turut mengindahkan lanskap alam petang itu. 

Riuh suara nelayan tatkala menaikkan bakul-bakul yang berisi ikan hasil tangkapan memecah hening petang yang damai. Ramai juga yang menunggu ikan segar naik ke jeti. Menjadi rutin juga buat anak-anak nelayan menunggu ayah mereka pulang dari laut. Dalam ramai-ramai itu, sempat mata Fitri melihat kelibat seseorang. Dia tersenyum lalu kakinya pantas mendekati insan yang dimaksudkan.

       “Assalamualaikum…” Fitri memberi salam sebaik sahaja mendekati individu tersebut. Dia menunggu reaksi yang seterusnya. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan.

        “Waalaikummussalam. Ehh… Apit. Lama tak nampak, mana menghilang?” soal Azizah dengan perasaan ceria. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

         “Err… tak pergi mana pun. Sesukar mana pun hidup, aku tetap di sini,” jawab Fitri teragak-agak tetapi berusaha menyakinkan Azizah dengan jawapannya itu.

        “Bunyi macam orang kecewa aje. Kau okey ke?” usik Azizah dengan satu persoalan. Persisnya mahu menduga. Fitri sedikit goyah. Jiwanya memang tidak tenteram sejak beberapa hari ini.

        “Ehh… apa maksud kau? Aku okeylah!”

Azizah menyisih sedikit daripada Fitri. Dia sempat merenung ke wajah Fitri. Sekilas pandangannya macam ada sesuatu yang mahu dikhabarkan kepada lelaki itu. Bukan sehari dua dia sudah kenal dengan Fitri. Kisah cinta antara Fitri dan Ayunie bukan juga rahsia yang mahu disembunyikan. Malah orang kampung juga tahu kisah mereka.

        “Kau memang nampak okey tapi perasaan kau? Aku tahu kau masih sayangkan dia bukan?” bertalu-talu Azizah bertanya. Fitri rasa seperti dipukul. Bukan sahaja hatinya sakit malah seluruh anggota badan turut menderita sama.

        “Azie… kau tahu dia di mana sekarang? Dah puas aku hubungi dia tapi hampa. Aku tak boleh hidup tenang tanpa dia…” tiba-tiba Fitri meluahkan rasa. Kecewanya berganda-ganda.

        “Dia dah pergi jauh. Tak perlu kau cari dia lagi…” jawab Azizah dengan wajah yang sebal. Air mukanya menggambarkan satu keadaan yang tidak selesa.

        “Kau pun tahu, aku masih sayangkan dia. Aku tak boleh hidup tanpa dia. Dia segala-galanya bagi aku. Aku benar-benar menyesal lepaskan dia pergi. Aku nak dia kembali semula,” ujar Fitri seperti orang hilang akal. “Orang berkahwin boleh bercerai, inikan pula orang bertunang!”

Azizah tidak dapat menahan sebak. Kata-kata bersemangat daripada Fitri itu sangat mengujakan. Mungkin sudah tiba masanya dia berterus terang. Tidak sanggup dia menceritakan apa yang sudah terjadi. Amanah keluarga Ayunie sangat berat untuk disimpan. Setiap kali Fitri mendesak, dia dihukum rasa bersalah.

        “Kau kena tolong aku. Aku tahu kau rapat dengan dia. Tolong jangan tambah siksa yang ada!” rayu Fitri bersungguh-sungguh. Azizah nampak culas. Berat mulutnya mahu menyampaikan kisah yang sebenarnya. Sebelum memulakan bicara, nafas ditarik perlahan-lahan.

        “Aku tahu kau sayangkan dia. Kita semua sayangkan dia. Tapi ALLAH SWT lebih lagi menyayangi dia…” tutur kata Azizah terhenti di situ. Air mata mula berjuraian di pipi. 

Fitri  macam tidak percaya mendengar kata-kata itu. Adakah dia sedang bermimpi? Keluhan dilepaskan demi menggenggam satu realiti.

        “Apa maksud kau? Jangan main-mainkan perasaan aku boleh tak?” soal Fitri bertubi-tubi. Ombak resah di dadanya terus menggunung. Kalau gunung berapi pasti sudah meletus laharnya.   

        “Kau kena reda. Ini satu ketentuan dari-NYA. Unie seorang gadis yang setia pada cintanya. Dia terus membantah kehendak keluarga dan tak jadi bertunang dengan mana-mana lelaki pun. Cintanya memang untuk kau seorang. Dia memilih untuk menjadi tetamu ALLAH supaya dapat berdoa di Jabbal Rahmah. Tapi sayang, ajal terlebih dulu menjemputnya di sana…” ujar Azizah dengan air mata semakin laju turun ke lurah pipi.

        “Ya ALLAH!”

Hanya itu perkataan itu yang terlontar dari mulut Fitri. Dia terduduk di lantai jeti. Ego lelakinya turut larut bersama air mata yang gugur. Dalam esak tangisnya, Fitri berjanji akan sesetia cinta Ayunie. Dia juga sudah bertekad akan terus mencintai arwah Ayunie hingga ke mati. Mungkin mereka boleh bertemu di syurga abadi. Azizah yang lama berdiri turut menyeka air mata. Dia turut terkesima sama.

SEBUAH PESAN Karya : Sahbuddin Dg. Palabbi

  SEBUAH PESAN Sahbuddin Dg. Palabbi Rina, seorang jurnalis investigasi. Ia sedang menyelidiki sebuah kasus pembunuhan misterius. Korbanny...

Carian popular