Isnin, 19 Januari 2026

PUTERI DI PINTU MAHLIGAI: Asmaniza

PUTERI DI PINTU MAHLIGAI

Oleh: ASMANIZA DIN



Rembulan menyembunyikan wajah di sebalik awan, seakan tewas pada kemegahan Villa Aurora. Aku mematung di celah rimbunan pokok bunga kertas yang tumbuh subur, membiarkan pandanganku terkunci pada ruang tamu utama yang bermandikan kilauan chandelier mewah.

Di tengah keramaian itu, Puteri Aurora kelihatan begitu sempurna. Derai tawanya yang halus bersatu dengan dentingan gelas kristal dan alunan muzik. Tampil anggun dengan gaun labuh sutera rona biru, dia bagaikan bidadari kayangan yang tersesat di dunia manusia.

Dia dikerumuni anak-anak kenamaan. Masing-masing berlumba mencuri perhatian sang puteri. Mereka tampak serasi. Sama cantik, sama padan.

Aku tersenyum pahit. Barangkali, harga wangian yang membaluti tubuh mereka sahaja sudah jauh melebihi gaji sebulanku.

Aku menunduk, menatap kemeja lusuh di badan. Bau peluh dan kotoran masih setia menemani, hasil seharian berhempas pulas membersihkan halaman vila demi majlis itu.

Pada zahirnya, yang memisahkan duniaku daripada dunia mereka hanyalah sebatas dinding kaca. Namun hakikatnya, jurang di antara kami sejauh langit dengan bumi.

Tiba-tiba, Aurora menoleh tepat ke arahku. Seolah-olah dapat merasakan ada sepasang mata sedang mencuri pandang.

Darahku berderau.

Serta-merta aku berselindung di sebalik dinding garaj. Aku sedar... diriku hanyalah secebis bayang-bayang yang tidak layak muncul, biarpun sekadar dalam mimpinya.

Nafasku tersekat-sekat. Di sebalik dinding dingin itu, memori pahit lima belas tahun lalu kembali menerjah, seperti baru semalam berlaku.

Masih segar dalam ingatan, sewaktu kami baru berusia sepuluh tahun. Petang itu, hujan turun membasahi bumi. Aku mengajak Aurora bermain kapal kertas berdekatan longkang besar di hadapan vila.

"Laju lagi, Faliq! Laju!"

Tawa riang Aurora mati mendadak apabila kakinya tergelincir. Tubuh kecilnya jatuh terperosok ke dalam selut. Sekelip mata, gaun putih yang dipakainya habis berlumuran lumpur hitam.

Tanpa menunggu lama, aku segera menghulurkan tangan untuk menariknya bangun. Namun, jeritan nyaring Puan Sri Marina mematikan pergerakanku.

"Faliq! Jangan sentuh Aurora!" Nada itu bukan sekadar marah, tetapi berbaur jijik.

Puan Sri Marina berlari mendapatkan anaknya, lalu menepis tanganku.

"Tengok, baju Aurora dah kotor! Berapa kali saya dah pesan, Aurora tak boleh main tempat macam ni. Kulit dia sensitif. Dia bukan macam kamu, Faliq."

Kata-kata itu menusuk dalam. Hari itu, aku belajar satu hakikat yang menyakitkan.

Aurora umpama sutera, manakala aku hanyalah belacu. Andai sutera terpalit lumpur, hilanglah serinya. Namun, belacu sepertiku... bersih mahupun kotor, tetap dipandang sepi.

Sejak hari itu, aku mula menjaga jarak. Bukan kerana aku membenci, tetapi kerana aku tidak mahu tangan kotorku mencemarkan dunia indah miliknya.

"Faliq! Termenung apa lagi tu? Cepat tolong ayah angkat ais ni ke dapur!"

Suara garau ayah membawaku kembali ke dunia nyata. Aku tersentak hebat. Lamunan panjangku berkecai sekelip mata.

"Baik, ayah."

Tanpa banyak soal, aku memikul bungkusan ais yang mulai mencair di kaki lima. Kedinginannya merayap, menembus hingga ke tulang bahu.

Setibanya di dapur basah, aku terus menyimpan bungkusan ais itu ke dalam tong oren yang tersedia. Belikatku terasa ringan serta-merta.

​Aku bersandar seketika di dinding, cuba mencari ruang untuk bernafas. Bunyi gelak tawa dari ruang tamu terasa bingit, seolah-olah sedang mengejek nasibku di sini.

​Belum sempat aku mencuci tangan, tiba-tiba pintu dapur terkuak. Degupan jantungku seakan terhenti saat melihat Aurora sedang berdiri di ambang pintu.

​"Faliq! Puas saya cari awak... kat sini rupanya. Kenapa tak ke depan? Saya tunggu awak dari tadi lagi."

​Aurora melangkah masuk tanpa ragu. Dia langsung tidak pedulikan hujung gaunnya menyapu lantai dapur yang melekit.

​Pemandangan itu membuatkan dadaku sesak, mengingatkan aku pada insiden lima belas tahun yang lepas. Bezanya kali ini, tiada jeritan suara Puan Sri Marina.

​Cepat-cepat aku menyembunyikan tangan yang basah ke belakang badan. Malu jika dia melihat sisi comotku.

​"Err... saya tolong ayah, Cik Aurora. Lagipun, ramai sangat tetamu kat depan. Seganlah."

​Langkahnya semakin mendekat, membawa bersama haruman mawar segar yang menusuk ke rongga hidung. Wangian itu membuai, sekali gus menyiksaku.

​"Kenapa nak panggil saya 'Cik' pulak ni? Panggil nama cukuplah, macam dulu."

​"Dulu lain... sekarang lain," balasku perlahan.

​Aku melarikan pandangan ke arah sinki yang berisi penuh pinggan mangkuk, tidak berani menentang matanya.

"Lain macam mana?" Aurora mengerutkan dahi, meminta pengertian.

"Tengoklah diri awak sekarang... Awak kan dah berjaya tamatkan pengajian kat luar negara. Sedangkan saya ni, masih..."

Kata-kata itu tersekat di kerongkong. Aku tidak sanggup untuk mengakui realiti hidupku yang serba kekurangan.

​Aurora ketawa kecil. Dia bersandar santai di kabinet dapur, betul-betul di sebelahku.

​"Awak ni tak pernah berubah, Faliq. Selalu merendah diri," ujarnya sambil menggeleng lembut.

Sempat dia menghulurkan piring kecil berisi sepotong kek coklat yang dibawanya dari tadi.

​"Nah, saya simpankan untuk awak. Saya tahu awak suka coklat. Makanlah."

​Aku teragak-agak menyambutnya. Saat piring bertukar tangan, hujung jari halusnya tidak sengaja bersentuhan dengan jariku yang kasar dan berkematu.

​Cepat-cepat aku menarik piring itu rapat ke badan untuk menghalau rasa canggung yang mula tercetus.

​"Tak manis kalau orang nampak awak ada kat dapur ni dengan anak tukang kebun," tegurku perlahan.

Aku cuba berlagak tenang, sedangkan jiwaku menjerit ingin dia kekal di situ.

​Aurora memandang tepat ke mataku.

​"Biarlah orang nak cakap apa pun. Yang penting, saya rasa selesa dengan awak. Awak je yang faham saya dari dulu."

​Kemudian, dia mengeluh perlahan.

​"Kadang-kadang, saya cemburu dengan awak, Faliq. Awak bebas buat apa yang awak suka. Tak macam saya... Semua keputusan, papa yang tentukan. Saya tak boleh nak bantah pun."

​Matanya merenung jauh, seolah-olah mencari kebebasan yang hilang.

​"Saya selalu berharap, saya dapat jadi orang biasa... hidup macam awak," sambungnya lagi.

​Kata-kata itu singgah di telingaku bagaikan satu panahan janji.

Benarkah? Atau dia sekadar ingin memujuk hatinya sendiri?

​Seketika, aku terlupa pada baju lusuh di badan. Angan-angan yang selama ini aku kuburkan dalam-dalam, mula bercambah semula.

​Mungkin... si pipit benar-benar boleh terbang seiring dengan enggang.

Namun, angan-angan itu lebur serta-merta. Belum sempat aku menyusun bicara untuk membalas luahannya, pintu dapur sekali lagi terkuak.

Seorang lelaki melangkah masuk. Tinggi dan segak. Sut hitam melekap sempurna pada tubuh tegapnya. Wajahnya bersih tanpa cela, manakala rambutnya disisir rapi.

Langkahnya diatur penuh keyakinan dan bersahaja, memancarkan aura seorang lelaki yang sudah terbiasa menggenggam dunia dalam telapak tangannya.

Sekali pandang, aku sudah mengerti di mana letaknya garis pemisah antara kami. Lelaki itu adalah cerminan dunia Aurora yang sebenar. Mereka sekufu.

"Sayang? You buat apa kat sini? Puas I dengan Papa cari you," tegur lelaki itu lembut.

Suaranya tenang. Langsung tiada nada marah atau cemburu, biarpun melihat tunangnya sedang berdua-duaan di dapur dengan lelaki selekeh sepertiku.

Aurora tersentak. Wajahnya berubah kelat.

"I... I cuma ambil angin sekejap kat sini. Kenalkan… ini Faliq. Kawan lama I."

Lelaki itu tersenyum lebar. Benar-benar mesra tanpa sekelumit rasa curiga. 

"Oh, inilah Faliq yang you selalu cerita tu? Hai, saya Haris. Tunang Aurora." Dia terus menghulurkan tangan ke arahku.

Tunang.

Satu perkataan itu cukup untuk meranapkan istana harapan yang baru sesaat tadi aku bina.

Aku memandang huluran tangan Haris. Bersih, mulus dan dijaga rapi. Kemudian, mataku jatuh pada telapak tanganku sendiri.

Jari-jemarinya hanya biasa memegang pena mahal dan stereng kereta mewah. Sedangkan aku? Cuma kuli yang tangannya sebati dengan tanah dan keringat.

Haris terlalu sempurna, membuatkan kewujudanku di situ terasa seperti satu titik noda pada sebuah lukisan yang indah.

Rasa seganku menebal. Namun, membiarkan hulurannya tidak bersambut terasa kurang manis pula.

Pantas aku mengesat telapak tangan yang basah pada sisi seluar jeans lusuhku, meninggalkan kesan tompokan air yang ketara di fabrik gelap itu.

Dengan berat hati, kami berjabat tangan. Saat kulit bersentuhan, tapak tangannya terasa sungguh asing. Licin dan lembut, tanpa sebarang cela. Kontras benar dengan tanganku yang kasar dan tebal berkematu.

"Tahniah!"

Perkataan itu meluncur keluar dengan payah, seolah-olah ada serpihan kaca yang tersangkut di kerongkong. Perit.

Haris tersenyum senang.

"Terima kasih, Faliq. Jemputlah makan sekali. Banyak lagi makanan kat depan tu."

Aku tidak membalas pelawaan itu. Sebaliknya, aku menarik tangan dan menjarakkan diri. Pandanganku dialihkan dari wajah Haris kepada gadis di sebelahnya.

"Cik Aurora sepatutnya ada kat depan."

Suaraku kedengaran asing, keras dan dingin. Sengaja aku tekankan panggilan 'Cik' itu. Biar dia rasa jurang yang aku cipta.

Aurora memandangku dengan wajah kecewa, seolah-olah terluka dengan kekasaranku. Namun, Haris segera mengajaknya beredar untuk menyelamatkan keadaan.

"Betul jugak tu… Jom, sayang. Tetamu dah tunggu."

Sebaik sahaja bayang-bayang mereka hilang di sebalik pintu, kakiku serta-merta menjadi lemah.

Aku mencengkam bucu meja makan seerat mungkin, menahan diri daripada rebah. Segala-galanya terasa pahit. Namun aku tahu, inilah realiti yang harus aku telan.

Kaca yang retak tidak akan pernah layak diletakkan bersebelahan dengan berlian.

Namun, ujian malam itu belum berakhir.

Beberapa minit kemudian, pintu dapur terbuka untuk kesekian kalinya. Kali ini, susuk tubuh Tan Sri Khalid pula yang muncul. Aura korporatnya memenuhi segenap ruangan dapur, membuatkan aku sukar bernafas.

"Tan Sri..." sapaku perlahan, lantas berdiri tegak tanda hormat.

Tan Sri Khalid melangkah masuk. Bunyi tapak kasut kulit mahalnya berdetak satu per satu di atas lantai, seolah-olah sedang menghitung detik hukuman buatku.

"Faliq," serunya. Suaranya mendatar, namun tegas.

"Ayah kamu, Pak Samad... dah berapa lama dia kerja dengan saya?"

Jantungku mula berdegup tidak sekata. Firasatku mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Dah... dah lebih dua puluh tahun, Tan Sri."

"Dua puluh tahun lebih... Saya hargai kesetiaan ayah kamu selama dia berkhidmat. Sebab tu, saya benarkan kamu sekeluarga tinggal di rumah pekerja secara percuma."

Tan Sri Khalid berhenti tepat di hadapanku.

“Saya tahu kamu dan Aurora memang rapat dan membesar sama-sama. Tapi, itu tak bermakna kamu layak untuk memiliki dia."

Matanya merenung tajam, menembus ke anak mataku.

"Aurora dah terbiasa hidup mewah sejak lahir dan tak pernah kenal erti susah. Dia perlukan jaminan masa depan yang kukuh, bukan sekadar cinta."

Kemudian, dia menyambung lagi tanpa mempedulikan wajahku yang mula terasa membahang.

"Gaji kamu sebulan pun belum tentu cukup untuk bayar servis kereta dia. Haris mampu bagi semua tu. Dia boleh bawa Aurora terbang tinggi. Kamu? Kamu nak bawa dia ke mana? Bonceng motor buruk pusing satu kampung?"

Aku terdiam seribu bahasa. Lidahku kelu.

Tan Sri menepuk bahuku perlahan. Tepukan itu terasa berat, seolah-olah membawa beban amaran.

"Ingat, Faliq. Jangan sampai ayah kamu hilang punca pendapatan. Umur dah lanjut macam tu, siapa lagi nak ambil dia bekerja? Faham maksud saya, kan?"

Darahku berderau. Ugutan itu jelas. Jika aku terus mendekati Aurora, ayahku yang akan menanggung akibatnya.

"Sa... saya faham, Tan Sri," jawabku. Suaraku bergetar, menahan sebak yang mula menghimpit dada.

"Bagus! Kamu memang budak cerdik. Tahu ukur baju di badan sendiri."

Tan Sri Khalid tersenyum sinis sebelum berlalu pergi. Tinggallah aku di situ, menahan air mata jantan daripada gugur menyembah bumi.

Di tengah kesuraman dapur yang dingin, aku akhirnya menitipkan noktah pada angan-angan kosongku. Biarlah aku menjadi kaca yang pecah berderai di lantai, asalkan mahligai indah milik Aurora kekal utuh tanpa sebarang retakan.

***

Tiga bulan kemudian.

Hari ini, Villa Aurora kembali dihias indah. Namun, suasananya berbeza. Inilah hari penyatuan dua jiwa yang sama darjat.

Aku berdiri di balik pohon besar berhampiran pintu pagar utama, memakai pakaian seragam kerja yang sama seperti hari-hari biasa. Tugasku hari ini hanya memastikan lalu lintas tetamu berjalan lancar.

Tiada kad undangan rasmi dilayangkan buat anak tukang kebun sepertiku, dan aku sememangnya tidak pernah mengharapkannya.

Dari kejauhan, aku melihat Aurora melangkah keluar menuju ke kereta pengantin. Dia kelihatan jauh lebih jelita berbanding malam itu. Busana songket putih membalut tubuhnya dengan sempurna, menaikkan seri wajah sang ratu sehari.

Di sisinya, Haris memimpin jemarinya dengan penuh tertib. Mereka bagaikan pinang dibelah dua. Sempurna. Tanpa sebarang cacat cela.

Saat kenderaan mewah itu bergerak perlahan melintasi tempatku berdiri, cermin gelap di bahagian penumpang turun perlahan-lahan.

Masa seakan terhenti. Pandangan kami bertaut buat kali terakhir.

Tiada senyuman di bibir Aurora. Renungannya tajam, namun rapuh. Sepasang mata itu seolah-olah sedang menjerit dalam bisu, menagih satu jawapan yang tidak pernah aku lafazkan.

Aku membalas renungan itu dengan anggukan kecil dan senyuman tawar. Hanya itu isyarat yang mampu kuberikan sebagai tanda bahawa aku baik-baik sahaja dan merestui pemergiannya ke dunia yang selayaknya.

Cermin kembali dinaikkan, menjadi tirai pemisah abadi antara kami. Kereta itu meluncur laju, membawa Aurora pergi menelusuri takdir hidupnya yang sebenar.

Aku menarik nafas panjang, membiarkan sisa-sisa rasa di dada terbang dibawa angin.

Pada akhirnya, aku mengerti. Ada insan diciptakan menjadi bintang yang bersinar megah di langit. Ada pula yang sekadar menjadi rumput di bumi, hanya mampu mendongak dari bawah.

Aku tidak perlu bermimpi untuk menjadi permaidani di istananya. Cukuplah aku menjadi debu yang pernah singgah sebentar di tepian hidupnya, sebelum ditiup angin lalu.

Biarlah pinggiran yang sepi ini menjadi temanku. Kerana di sini, kakiku masih berpijak di bumi yang nyata.

Selamat tinggal, Puteri Aurora. Berbahagialah bersamanya di pintu mahligai yang tidak mungkin aku gapai.

Tamat.

Tiada ulasan:

LAUT YANG TIDAK SEMPAT MENGAKU: Kims Diwa

LAUT YANG TIDAK SEMPAT MENGAKU Karya: Kims Diwa           Arman berdiri di hujung jeti kayu yang reput, memandang laut petang yang sedang me...

Carian popular